SKUAD Harimau Muda A mengharapkan tuah beraksi di gelanggang sendiri buat kali pertama apabila turun menentang Tanjung Pagar United di Stadium Yishun bagi perlawanan Liga Singapura (Liga-S) malam ini.
Biarpun jarang berlatih di gelanggang yang boleh memuatkan 3,400 penonton itu, pengendali negara, Ong Kim Swee menganggap anak buahnya tidak berdepan masalah untuk memberikan aksi terbaik bagi meraih kemenangan kedua selepas membenam Gombak United, 2-0 pada perlawanan pembukaan liga awal bulan lalu.
“Kami baru saja tiba pagi tadi (semalam) dan akan mengadakan latihan pada sebelah petang sebagai persiapan terakhir menentang Tanjung Pagar.
“Walaupun ini kali pertama pemain beraksi di Stadium Yishun, bagi saya ia tidak memberikan masalah kerana padang stadium ini tidak menggunakan rumput tiruan.
“Saya sudah beberapa kali meninjau keadaan stadium sebelum ini dan saya memang puas hati. Saya harap pemain bermain lebih baik pada perlawanan kedua ini apatah lagi beraksi di gelanggang sendiri walaupun bukan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Arena Metro di Singapura semalam.
Menurut Kim Swee beliau tidak berdepan banyak masalah untuk menurunkan barisan terbaik melainkan terpaksa mengetepikan Wan Zaharulnizam Zakaria dan Ahmad Hazwan Bakri akibat kecederaan manakala tahap kecergasan Mohd Fadhli Shas dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang baru pulang dari Manila menyertai Harimau Malaya akan dipantau.
Mengulas pertemuan dengan Tanjung Pagar atau turut dikenali dengan nama jolokan The Jaguars, beliau menjangkakan tentangan sengit oleh skuad kendalian bekas pemain kebangsaan Singapura, Terry Pathmanathan itu.
“Tidak banyak maklumat yang saya peroleh mengenai Tanjung Pagar tapi kami menjangkakan mereka pasti bersemangat mencari kemenangan pertama selepas dua perlawanan,” katanya.
Harimau Muda A kini menghuni tangga keenam selepas satu perlawanan manakala Tanjung Pagar pula menduduki ke-10 selepas seri 1-1 dengan Hougang United dan kemudian tumpas 4-1 di tangan Albirex Niigata.
No comments:
Post a Comment