Monday, February 7, 2011

Benteng Perlis lembik

MANTAPKAN benteng pertahanan, elak mengulangi kesilapan, tajamkan tindakan penyudah, perkemas posisi tengah, pasti pasukan mampu mencatat kejayaan apabila beraksi semula pada Liga Super menentang Terengganu, Jumaat ini.
Demikian antara ingatan keras Ketua Jurulatih Perlis, Mosthakeen Omar kepada anak buahnya menjelang pertemuan dengan skuad dari Pantai Timur itu pada perlawanan ketiga Liga Super di laman sendiri, Stadium Utama Negeri Kangar.

Katanya, semua perkara itu adalah antara beberapa faktor yang dikenal pasti menerusi program `bedah siasat’ yang dijalankan selepas menerima dua kekalahan berturut-turut kepada Pahang dan Selangor.


Pada perlawanan pertama Singa Utara kecundang, 1-3 sebelum menerima nasib sama kepada juara bertahan, Selangor 0-2, Sabtu lalu.

“Berikutan dua kekalahan itu yang menyaksikan pasukan terus gagal mengutip sebarang mata dan menduduki tangga terbawah carta liga, kita terpaksa melakukan `post mortem’ bagi mengenal punca atau faktor kegagalan itu.


“Hasilnya, kami mendapati ianya adalah berpunca daripada beberapa faktor antaranya kesilapan benteng pertahanan dan kegagalan barisan depan melakukan penyudahan secara berkesan, kekurangan pengalaman dan faktor kegopohan.




“Justeru semuanya perlu ditangani segera bagi memastikan aksi pasukan tidak terus dikecewakan untuk mencatat kejayaan pertama Jumaat ini,” katanya semalam.

Mosthakeen berkata, selain itu, aspek mental, semangat dan keyakinan pemain turut diberi perhatian agar tidak terlalu memikirkan kehebatan pencabar yang bakal dihadapi pada aksi Liga Super selepas ini.


Katanya, apa yang paling penting ialah semua pemain perlu fokus terhadap permainan terutama yang beraksi di posisi pertahanan agar tidak terus mengulangi kesilapan sama ketika tewas kepada Selangor, Sabtu lalu.

“Saya yakin sekiranya semua pemain memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap permainan, impian mencatat kejayaan mampu digapai,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...