Friday, February 11, 2011

Hadiah perpisahan Safee

TIGA mata menjadi buruan pemain Selangor untuk dijadikan hadiah perpisahan kepada penyerang berbisa skuad Merah Kuning itu, Mohd Safee Sali (gambar) apabila turun melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, malam esok.


Kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah berkata, mereka ingin menjadikan perlawanan itu sebagai satu kenangan untuk Mohd Safee yang bakal turun kali terakhir sebelum berhijrah ke kelab Indonesia, Pelita Jaya.

“Kami mensasarkan tiga mata sebagai salah satu cara menghargai sumbangan Mohd Safee kepada Selangor selama ini,” katanya ketika dihubungi.


Perancang tengah berusia 30 tahun itu berkata, moral pemain juga semakin tinggi apabila berjaya bangkit mencipta kemenangan dengan menewaskan Perlis 2-0 selepas dikecewakan Kelantan dalam perebutan Piala Sultan Ahmad Shah, 29 Januari lalu.

“Kekecewaan gagal mempertahankan piala itu sudah dilupakan. Kami kini fokus sepenuhnya untuk mengharungi baki Liga Super sekali gus mempertahankan kejuaraan liga,” katanya.


Namun, Mohd Amri tetap mengingatkan rakan sepasukannya tidak memandang rendah keupayaan Kuala Lumpur yang dibimbing jurulatih Razip Ismail itu.



“Mereka adalah pemain muda yang pastinya mempunyai corak permainan pantas dan mungkin menggunakan kelebihan itu untuk merobek gol kami,” katanya.

Kuala Lumpur kini menghuni tangga ketiga liga di belakang Negeri Sembilan dan Kelantan dengan mengumpul empat mata hasil kemenangan ke atas Sabah dan keputusan seri dengan Perak.



Selain penampilan terakhir Mohd Safee yang dijangka turun sebagai kapten, pertembungan itu juga menjadi tumpuan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan bekas kapten Kuala Lumpur musim lalu, Azidan Sarudin adalah milik Selangor walaupun menjadi pertikaian sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...