PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mahu Akmal Rizal Ahmad Rakhli memohon maaf kepada persatuan berkenaan bagi menyelesaikan masalah pemberian bonus yang dikatakan masih belum diterimanya.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, Akmal perlu berbuat demikian berhubung kenyataannya sebelum ini atau pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap bekas penyerang Kelantan itu.
Beliau berkata, Akmal dan beberapa pemain lain turut menerima surat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang memerlukan mereka menyelesaikan soal pembayaran kepada agensi itu.
“Ada pemain yang sudah lari meninggalkan kita turut menerima surat daripada LHDN dan jumlahnya melebihi wang kita miliki.
“Cukai yang membabitkan pemain berkenaan bukan sedikit dan ada yang berjumlah sehingga RM40,000. Kita akan cuba menjelaskan setakat termampu tetapi sekiranya masih belum selesai maka menjadi tanggungjawab kepada pasukan baru mereka untuk menyelesaikannya,” katanya pada sidang akhbar di Kota Bahru, semalam.
Bagaimanapun, Annuar menegaskan bonus untuk Hairuddin Omar akan dibayar kerana dia memberi kerjasama dan sentiasa berhubung dengan pihak KAFA.
Berhubung dengan pembayaran bonus, Annuar menjelaskan ia adalah pemberian kerajaan negeri kepada pemain Kelantan yang menjuarai Piala Malaysia 2010 dan tidak ada kena mengena dengan KAFA malah persatuan itu tidak pernah memegang walau satu sen pun wang berkenaan.
Selain itu, Annuar turut menegaskan kes membabitkan tiga lagi pemain iaitu Indraputra Mahayuddin, Nor Farhan Muhamad dan Azizi Mat Rose masih belum selesai meskipun jawatan kuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan membenarkan mereka beraksi dengan pasukan baru mereka.
No comments:
Post a Comment