SHAH ALAM - Bukan tidak menghargai kemenangan sulung ke atas Pahang 3-1 kelmarin, tetapi Ong Kim Swee ternyata perlu memikirkan misi yang lebih penting buat Harimau Muda A dalam Kelayakan Olimpik, 23 Februari ini.
Dua gol Izzaq Faris Ramlan dan penyudahan penalti Mohd. Fandi Othman di Stadium Shah Alam melegakan jurulatih skuad Bawah 22 negara malah memang menepati ramalan berikutan prestasi cemerlang anak buahnya.
"Perlawanan itu memang milik kami berdasarkan prestasi pemain dan kepatuhan mereka terhadap arahan saya biarpun cuma sedikit kesilapan benteng menghukum kami dengan gol pendahuluan lawan.
"Saya puas hati dengan kemenangan sulung ini, namun yang lebih penting ialah menyediakan pasukan menghadapi Pakistan (dalam perlawanan pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik di Kuala Lumpur).
"Kami cuma kurang bertuah di Seremban (dikalahkan Negeri Sembilan 1-0 dengan jaringan tiga minit terakhir) tetapi di sini (Shah Alam), kemasukan dan sentuhan Izzaq Faris menepati perancangan kami," katanya.
Harimau Muda A melakukan hampir 10 percubaan berbahaya ke gawang Tok Gajah yang dikawal Suffian Ab. Rahman, dengan penguasaan mereka begitu terserlah dalam babak kedua termasuk menerusi gerakan Fandi, Gary Steven Robbat dan Syahrul Azwari Ibrahim.
Bagaimanapun Kim Swee tidak menolak kemungkinan untuk membuat sedikit rombakan pada kesebelasan utama Harimau Muda A menjelang menentang Pakistan memandangkan dia memerlukan beberapa tonggak yang kini mewakili beberapa pasukan negeri.
"Setakat ini keserasian pasukan sudah diperoleh (sejak siri persahabatan dengan Thailand dan Singapura, bulan lalu) tetapi saya masih memantau keadaan Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani untuk turut diserapkan bagi Kelayakan Olimpik," katanya.
Pakistan dilaporkan bakal menamakan beberapa pemain yang berpangkalan di kelab Eropah seperti penjaga golnya, Naiman Khan (Sepanyol) dan Yousuf Butt (Sweden), apabila bertandang 23 Februari ini sebelum menanti Malaysia di Lahore, 9 Mac.
Anak buah Tariq Lutfi ini dijadualkan membuka kem latihan selama dua minggu di Thailand pada minggu depan sambil mengadakan tiga perlawanan dengan kelab tempatan dan yang terakhir menentang pasukan kebangsaan tuan rumah.
Sementara itu, Izzaq Faris yang cukup gembira dengan dua jaringannya ke atas Pahang kelmarin berkata, dia masih terasa belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan urat pelipat lutut yang ditanggungnya sejak menentang Thailand di Bangkok, bulan lalu.
"Saya rasa baru beransur pulih sekitar 90 peratus sahaja. Itulah sebabnya saya bukan dalam kesebelasan utama (menentang Pahang) tetapi apabila jurulatih masukkan saya gantikan Wan Zack Haikal Wan Noor, saya tekad untuk menjalankan tanggungjawab mencari gol.
"Pengalaman Sukan Asia Guanghzou dan Piala Suzuki AFF, tahun lalu, banyak dimanfaatkan dan dikongsi dengan pasukan dalam menghasilkan dua gol ini," katanya yang mencipta gol pertama menerusi tandukan mencecah tanah dan kedua, rembatan leret kaki kiri.
Pemain Harimau Muda A, Syahrul Azwari Ibrahim (kiri) diasak pemain Pahang, Mohd. Fadzirul Zakaria, pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, kelmarin. - UTUSAN/Fauzi Baharudi |
No comments:
Post a Comment