PENYERANG baru Negeri Sembilan, Hairuddin Omar, tidak akan mengutamakan misi peribadi, sebaliknya fokus kepada usaha membantu dan memastikan pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.
Walaupun mahu memahatkan nama sebagai penjaring, itu bukan keutamaannya ketika ini kerana lebih penting adalah memastikan kemenangan Negeri Sembilan, sambil menyifatkan prestasinya selepas dua aksi menentang Harimau Muda A dan T-Team, masih boleh ditingkatkan lagi.
“Memanglah setiap penyerang mahu menjadi penjaring tetapi saya lebih fokus kepada kemenangan pasukan, lebih-lebih lagi saingan masih di peringkat awal dan kami mahu mengumpul sebanyak mata mungkin kerana saingan semakin mencabar selepas ini,” katanya, semalam.
Bekas penyerang Kelantan itu mengakui pemain baru mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dan setiap pasukan juga semakin dapat membaca pergerakan dan strategi lawannya.
“Setakat ini, saya bersyukur kami mendapat keputusan baik dalam dua perlawanan lalu dan ini perlu diteruskan untuk terus mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga apabila bertemu Perak di Ipoh, Sabtu ini,” katanya.
Pemain 31 tahun itu menjangkakan saingan Sabtu ini lebih sengit dan mencabar kerana Perak memiliki ramai pemain pengalaman yang perlu diberikan perhatian, apatah lagi selepas mereka mencatat kemenangan pertama ke atas Johor FC yang sekali gus menaikkan lagi semangat tuan rumah itu untuk melakar kemenangan.
“Saya harap rakan sepasukan fokus 100 peratus sepanjang permainan nanti, dan pada masa sama tidak melakukan kesilapan mudah terutama pada penghujung babak aksi kerana ia mungkin memberi kesan kepada keputusan perlawanan,” kata Hairuddin yang pernah membantu Negeri Sembilan menjulang Piala Malaysia 2009.
No comments:
Post a Comment