PERLIS sudah melakukan ‘bedah siasat‘ terhadap dua kekalahan berturut-turut kepada Pahang dan Selangor dan sudah bersedia berdepan Terengganu, dalam perlawanan Liga Super di Stadium Utama Negeri di Kangar, Jumaat ini.
Ketua jurulatih Singa Utara, Mosthakeen Omar berkata, faktor dikenal pasti yang menyumbang kepada kekalahan itu juga sedang diatasi sepanjang tempoh rehat sembilan hari sempena perayaan Tahun Baru Cina ini.
Katanya, selain tahap keupayaan dan keberkesanan beberapa posisi penting iaitu ketajaman barisan depan, benteng pertahanan juga dimantapkan, di samping suntikan motivasi dan perangsang buat barisan pemain muda untuk lebih bersedia, bersemangat, berdisiplin dan yakin menghadapi cabaran seterusnya.
“Saya percaya sekiranya semua pemain memberikan sepenuhnya tumpuan terhadap pendekatan strategi dan dalam masa sama meningkatkan tahap kecergasan fizikal masing-masing, tidak mustahil Perlis bangkit mencipta kemenangan pertama, Jumaat ini.
“Saya mengingatkan pemain terutama pertahanan supaya mengelak daripada sebarang kesilapan yang menyebabkan kekalahan kepada Selangor, sebelum ini,” katanya.
“Saya berharap selepas kecewa dalam dua perlawanan lalu, mereka akan bangkit lebih bersemangat untuk memulakan rentak kemenangan walaupun harus diakui, Terengganu adalah pasukan yang hebat dan seimbang kerana memiliki ramai pemain berpengalaman.”
No comments:
Post a Comment