JIKA apa diluahkan Hardi Jaafar itu benar, maka Kuala Lumpur harus lebih berhati-hati apabila berkunjung ke Stadium Shah Alam untuk bertemu Selangor pada saingan Liga Super, 12 Februari ini.
“Kami menang di Kangar kerana semua pemain sudah mula menemui rentak masing-masing. “Kami bermain baik dan berjaya melaksanakan apa dirancang jurulatih. Memang perlawanan di Kangar itu boleh dianggap sebagai satu kebangkitan buat Selangor,” kata pemain tengah itu.
Selangor menundukkan Perlis 2-0 hasil jaringan Safee Sali dan Mohd Fitri Shazwan sekali gus menebus kekecewaan ketika tewas 2-0 di tangan Kelantan pada saingan Piala Sumbangsih yang turut menyaksikan skuad Gergasi Merah itu terlepas peluang untuk merangkul gelaran pertama musim ini.
Dengan kemenangan itu, Selangor yang dibimbing ketua jurulatih, K Devan itu menduduki tangga kelapan Liga Super.
Liga Super diterajui Negeri Sembilan yang menewaskan T-Team 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi dan itu adalah kejayaan kedua buat skuad bimbingan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan. Pada perlawanan pertama, 29 Januari lalu, Negeri Sembilan menewaskan Harimau Muda A, 1-0.
Mulai semalam, semua pasukan lain kecuali Perlis dan Terengganu diberi rehat selama 10 hari kerana sambutan perayaan Tahun Baru Cina dan Liga Super akan kembali disambung pada 12 Februari. Perlis dan Terengganu pula akan bermain sehari lebih awal iaitu pada 11 Februari.
Hardi berharap semua pemain Selangor kembali mempamer persembahan meyakinkan sekali gus mencerahkan peluang memenuhi sasaran ditetapkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Saya menanam azam untuk beraksi lebih baik lagi ketika kami menentang Kuala Lumpur nanti dan saya harap semua rakan-rakan yang lain juga begitu. “Kami tidak boleh memandang ke belakang dan harus melupakan kekalahan di tangan Kelantan. “Untuk melakar peluang lebih cerah, kami tidak mempunyai pilihan selain menang.
“Kami perlu bermain lebih baik berbanding ketika menentang Perlis jika mahu merealisasikan serta memenuhi sasaran FAS musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment