Thursday, February 3, 2011

Karathu puas aksi Kijang

MESKIPUN hanya mampu seri 1-1 di gelanggang sendiri pada perlawanan menentang Terengganu, malam kelmarin, jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu tetap menyuarakan rasa puas hati terhadap mutu permainan anak buahnya.
Bagaimanapun, Karathu menyatakan, skuad Kijang tidak boleh terus leka sebaliknya perlu berusaha meningkatkan prestasi terutama dari segi teknik hantaran yang dilihat tidak begitu konsisten.

Berdasarkan perlawanan menentang skuad Penyu, jurulatih Kelantan itu menegaskan, anak buahnya perlu memantapkan lagi benteng pertahanan bagi mengelakkan pasukan pelawat membolosi gawang mereka dengan mudah.


“Keseluruhan, saya puas hati kerana kita berjaya menjaringkan gol. “Namun, kita perlu terus meningkatkan prestasi supaya kubu pertahanan lebih mantap dan sukar dibolosi pihak lawan,” katanya.

Selepas kejayaan menjulang Piala Sumbangsih sekali gus mengutip tiga mata penuh ke atas Selangor, Sabtu lalu, The Red Warriors gagal meneruskan rentak cemerlang mereka dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV. Gol pertama tuan rumah dihasilkan Mohd Badhri Radzi hasil hantaran lintang Nurul Azwan Roya pada minit ke-35 tetapi ketua pasukan Terengganu, Mohd Marzuki Yusof menyamakan kedudukan pada minit ke-69.


Karathu mengakui pasukannya gagal menyempurnakan beberapa peluang bagi membolosi gawang Terengganu dan berkata, beberapa pemain muda Kelantan masih tidak mempunyai cukup pengalaman bagi membolehkan mereka mengambil kesempatan terhadap peluang yang terhidang.



“Kegagalan itu bukan disebabkan teknik penyudahan mereka yang tumpul tapi lebih kepada faktor cetek pengalaman,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...