Saturday, February 5, 2011

Gelanggang Tok Gajah belum ada kata putus

TIADA sebarang kata putus mengenai stadium baru yang menjadi gelanggang skuad Pahang berikutan Stadium Darulakmur dijangka ditutup April ini bagi kerja menaik taraf sebagai persediaan Pahang menjadi penganjur Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) 2012.


Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Omar Othman berkata, setakat ini, PBNP masih dalam perbincangan memandangkan ia perlu mendapat pandangan semua pihak bagi kepentingan skuad Pahang.

Namun, menurutnya, dari segi pengurusan, PBNP terpaksa berkorban kerana Stadium Darulmakmur akan dijadikan stadium utama bagi majlis pembukaan dan penutupan Sukma 2012.




“Apa yang pasti, kami tidak dapat memberi kata putus mengenai stadium yang bakal dijadikan gelanggang tuan rumah.

“Pada pandangan peribadi, Pahang tidak menghadapi masalah kerana pada saingan Piala Malaysia musim lalu, kami mengadakan beberapa perlawanan di luar Pahang disebabkan masalah lampu limpah,” katanya semalam.


Omar berkata, pada dasarnya, pengurusan PBNP sudah menerima surat makluman daripada Perbadanan Stadium Darulmakmur (PSD) berhubung perkara itu.




“Namun, penyokong Pahang masih boleh menyaksikan beberapa perlawanan membabitkan Pahang di Stadium Darulmakmur sebelum bertukar gelanggang,” katanya.

Berdasarkan jadual, Stadium Darulmakmur yang boleh memuatkan 35,000 orang akan dinaik taraf sebagai persediaan Pahang menjadi penganjur 2012.


Pada masa sama, kerja menaik taraf stadium itu memerlukan tempoh antara satu tahun hingga 18 bulan kerana Sukma dijangka berlangsung pada Jun tahun depan.

Ia disahkan Pengurus PSD, Mohd Izudin Mohd Kenali yang sudah memaklumkan kepada PBNP.


“PBNP perlu mencari alternatif untuk memenuhi jadual perlawanan iaitu sebagai gelanggang tuan rumah.


“Bagaimanapun, jika kerja naik taraf hanya bermula Mei, skuad Pahang masih boleh menggunakannya,” kata Mohd Izudin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...