PROGRAM jelajah pasukan bola sepak Liga Super Perak ke daerah-daerah diteruskan dengan bertandang ke Daerah Kerian untuk mengadakan latihan dan kerja-kerja amal, hari ini.
Pengurus pasukan, Khairul Azwan Datuk Harun berkata, seperti pada program pertama di Sungai Manik 13 Januari lalu, pemain terbabit dalam program gotong royong di Kuala Kurau serta makan tengah hari .
“Ini adalah program bulanan skuad liga Super yang dijadual berkunjung ke setiap daerah di Perak dalam usaha mendekatkan diri dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.
“Dengan cara ini kami harap dapat meningkatkan jati diri pemain serta menimbulkan kesedaran dan keinsafan pemain terhadap mereka yang daif, “ katanya.
Khairul Azwan yang juga bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, pada petangnya pemain akan menjalani latihan di Padang Majlis Daerah Kerian selain sesi bertemu dan bergambar dengan peminat selepas itu.
Pengurus Perak itu berkata, skuad Seladang bermalam di Parit Buntar kerana akan meneruskan perjalanan ke Jitra, Kedah keesokan harinya untuk menghadiri majlis perkahwinan penyerang Perak, Muhammad Shafiq Jamal .
Shafiq 24, selamat diijab kabul dengan gadis pilihan hati, Norma Abd Razak, di Masjid Taman Ria, Sungai Petani, Khamis lalu.
No comments:
Post a Comment