LINCAH...Safee (kiri) enggan beritahu status penghijrahannya ke Indonesia. |
“SAYA tidak boleh beritahu keputusannya, tunggu Isnin ini.” Itu jawapan ringkas diucapkan penyerang Selangor, Mohd Safee Sali ketika ditanya mengenai status perpindahannya ke kelab Liga Super Indonesia, semalam.
Walaupun pemain berusia 27 tahun itu mengaku keputusan sudah dicapai namun dia membiarkan peminat terus berteka-teki sebelum pengumuman rasmi dibuat majikannya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
“Pihak persatuan sudah mengadakan perbincangan dengan kelab dari Indonesia dan keputusan sudah dibuat dua-tiga hari lalu... tapi biarlah pihak persatuan mengumumkannya. “Saya tidak boleh beritahu sama ada berpindah atau kekal bersama Selangor, kena tunggu sidang media Isnin ini,” katanya yang kini mengikuti latihan pusat skuad kebangsaan kendalian jurulatih K Rajagobal.
Safee, penjaring terbanyak ketika membantu Malaysia merangkul Piala Suzuki AFF Disember lalu dirisik tiga kelab Indonesia iaitu, Persib Bandung, Pelita Jaya dan Persiba Balikpapan.
Pemain kelahiran Perak itu sudah menyuarakan hasrat untuk berhijrah bagi memenuhi cita-citanya bergelar pemain profesional.
Namun, sejauh mana perpindahan itu akan menjadi kenyataan bergantung kepada perbincangan serta kesediaan FAS untuk melepaskan Safee yang masih mempunyai kontrak bersama pasukan gergasi merah kuning itu hingga November ini.
Selain itu, cerita terbaru daripada Wisma FAM pula menyebut badan induk bola sepak tanah air kini merancang untuk menghantar Safee, Khairul Fahmi Che Mat dan Norshahrul Idlan Talaha menjalani ujian pemilihan dengan kelab-kelab dari Liga Jepun (Liga-J).
Adakah Safee lebih berminat dengan rancangan terbaru FAM itu berbanding hajatnya ke negara jiran? “Saya cuma tahu mengenai perkara itu menerusi laporan akhbar, jika benar sudah tentu ia bagus untuk perkembangan pemain dan pasukan Malaysia. Untuk mendapat peluang di Jepun bukan senang,” katanya.
No comments:
Post a Comment