Sunday, September 25, 2011
Badan bebas urus Liga M
PETALING JAYA - Kekalahan kepada Jepun dan onak duri yang menyukarkan impian penyerang kebangsaan, Safee Sali beraksi bersama pasukan Cardiff City, sudah cukup jelas menjadi penunjuk aras kualiti bola sepak Malaysia ketika ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa tanpa mahu berselindung, secara terbuka mengakui perjalanan bola sepak Malaysia mendaki ke pentas antarabangsa dan sekali gus menyaingi sekurang-kurangnya jaguh Asia seperti Jepun dan Korea Selatan masih terlalu jauh untuk dicapai.
"Standard bola sepak kita masih terlalu jauh jika dibandingkan dengan Jepun, apatah lagi bola sepak di England yang memiliki liga antara yang terbaik di dunia," katanya kepada Mingguan Malaysia pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, semalam.
Menurut Annuar, bola sepak Malaysia memerlukan satu rangka tindakan (blueprint) untuk menyusun kembali Liga Malaysia (Liga M) agar menjadi sebuah liga yang kompetitif dan mampu melahirkan pemain tempatan yang berkualiti tinggi.
Jelasnya, untuk menjayakan hasrat tersebut, FAM perlu berani mengorak langkah dengan melantik sebuah badan bebas untuk menguruskan Liga M secara profesional dan Liga Jepun boleh dijadikan sebagai contoh terbaik untuk merealisasikan hasrat tersebut.
"Liga M sebenarnya tidak mencapai standard bola sepak profesional dan kita juga gagal mengikut saranan yang telah ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Lihat sahaja fasiliti yang kita ada seperti padang dan lampu limpah, jurulatih, amalan diet pemain dan banyak lagi yang perlu diperbetulkan," ujarnya.
Malah, beliau secara berterus-terang meragui keikhlasan Cardiff City untuk menguji Safee yang mana ia turut mencerminkan tahap sebenar bola sepak Malaysia di mata orang luar.
"Saya tidak pasti adakah Cardiff benar-benar hendak menguji Safee untuk diambil sebagai pemain, atau sekadar menjaga hati atau mereka memang ikhlas untuk memberi peluang Safee mengikuti latihan selama dua minggu bersama kelab itu," ujarnya.
Annuar memberitahu, sebelum pemain Malaysia berhajat untuk bermain di luar negara, mutu Liga M perlu diperbaiki terlebih dahulu agar negara ini benar-benar mampu melahirkan lebih ramai pemain berwibawa untuk tempoh jangka panjang.
"Jika kita ada liga yang berkualiti tinggi, saya fikir untuk membawa masuk pemain import yang hebat ke negara ini juga tidak menjadi masalah," tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berhasrat untuk membawa cadangannya itu ke peringkat pucuk pimpinan tertinggi FAM untuk dinilai secara mendalam demi masa depan bola sepak Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment