Monday, September 19, 2011

Kijang pamer bisa


EMPAT jaringan ketika perlawanan berbaki 10 minit memastikan Kelantan meraih tiga mata berharga untuk menewaskan Sarawak 4-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, malam semalam.

Keputusan itu membolehkan Kelantan mengumpul sembilan mata untuk berada di tangga kedua Kumpulan C dengan Felda United terus berada di atas dengan mengumpul 10 mata apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Johor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Serangan bertali arus Kelantan yang dikejutkan dengan kekalahan kepada Felda United minggu lalu akhirnya membuahkan hasil menerusi gerakan solo kapten Red Warriors, Mohd Badri Radzi pada minit ke-80.


Dia berjaya membawa masuk bola dalam kotak penalti dengan menewaskan tiga pemain
pertahanan Sarawak sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol lawan, Aidil Mohamad yang beraksi cemerlang menafikan percubaan tuan rumah sejak wisel permulaan ditiup.

Jaringan itu nyata membakar semangat anak-anak buah Datuk M Karathu dan penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha meledak kedua pada minit ke-87 diikuti Danial Fazly Abdullah seminit kemudian untuk mencetuskan kegembiraan di kalangan penyokong setia mereka yang menunggu sejak awal permainan lagi.

Namun pesta jaringan itu tidak terhenti dengan tiga jaringan itu apabila Mohd Badri sekali lagi menjaringkan gol pada masa tambahan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol.



Sementara itu Felda United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mencatatkan keputusan seri menentang Johor FC yang kini terdesak untuk menghidupkan peluang ke suku akhir.

Azrul Ahmad menyelamatkan skuad kendalian E Elavarasan apabila meledak gol pada minit ke-70 selepas Mohd Izuan Jarudin menjaringkan gol awal untuk pelawat pada minit ke-38.


Untuk perlawanan kedua terakhir peringkat kumpulan, Felda United akan menentang Sarawak di tempat lawan pada Sabtu ini manakala Johor FC menanti kunjungan Kelantan ke selatan tanah air.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...