Thursday, September 29, 2011

Azraai waspada ancaman Felda


MENYEDARI cabaran berliku bakal dihadapi, jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah akan menggunakan tempoh rehat 12 hari membuat persiapan lebih rapi bagi memperkemaskan skuad Negeri Sembilan menjelang saingan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Felda United, 10 Oktober ini.

Sambil mengaku Felda United tidak boleh dipandang rendah, pengendali berpengalaman itu sedar perlunya prestasi pasukan ditingkatkan demi kejayaan.

Menurutnya, selain seimbang, skuad bimbingan E Elavarasan itu turut diperkuat kehadiran tiga pemain skuad Harimau Muda yang banyak membantu kejayaan pasukan.


“Kami menghormati Felda United selepas melihat kekuatan pasukan itu dan saya percaya ia memberi laluan sukar buat Negeri Sembilan.

“Apapun, kami akan menggunakan tempoh yang ada untuk memperkemaskan pasukan sementara pemain juga sudah diingatkan supaya kekal fokus kepada matlamat mencatat kemenangan,” katanya semalam.

Menurut Azraai, persembahan anak buahnya sepanjang mengharungi enam perlawanan peringkat Kumpulan B termasuk terakhir menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail, malam kelmarin, membantunya mengenal pasti setiap kelemahan.



“Kami harus akui saingan suku akhir amat berbeza berbanding cabaran peringkat kumpulan, justeru ia memerlukan perancangan dan strategi baru bagi memastikan setiap gerakan menghasilkan keputusan memuaskan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...