Monday, September 26, 2011

Felda United tiada rasa gerun


SAMA ada Negeri Sembilan atau Terengganu, kedua-dua pasukan itu langsung tidak menghadirkan rasa gerun kepada pasukan berstatus kelab, Felda United menjelang aksi suku akhir Piala Malaysia 2011 bulan depan.
Bukan mahu menidakkan kehebatan kedua-dua pasukan tersebut tetapi skuad kendalian E. Evalarasan itu lebih gemar memperkasakan pasukan sendiri terlebih dahulu berbanding memikirkan siapa lawan mereka kelak.
Meskipun rekod kebal tanpa kalah Felda United berjaya dirobek gol tunggal penyerang skuad Bujang Senang, Bobby Gonzalez bagi memastikan kemenangan Sarawak bagi aksi Kumpulan C kelmarin, pasukan itu masih berupaya mengetuk pintu suku akhir.
Felda United tidak perlu menunggu perlawanan malam esok setelah disahkan layak apabila berkongsi 10 mata bersama Kelantan.
Skrip yang lebih kurang sama juga berlaku di Kumpulan B kerana skuad Rusa dan Penyu yang berkongsi 12 mata telah menempah slot di suku akhir.
Justeru, keempat-empat pasukan kini sudah boleh mencongak siapa lawan yang boleh dipilih nanti tetapi tidak bagi Felda United.
"Siapa juga lawan kita di suku akhir nanti kami tidak ambil peduli, kerana kekuatan pasukan dalam saingan Piala Malaysia kali ini sebenarnya dilihat lebih kurang sama.
"Justeru, kami akan memanfaatkan aksi terakhir dengan menguji pemain-pemain yang masih belum berpeluang untuk diturunkan sebelum ini ketika menentang Kelantan di tempat lawan Selasa nanti (malam esok)," kata pengurus Felda United, Faizal Zakaria kepada Kosmo! semalam.
Selain pertarungan di Kota Bharu, satu lagi aksi Kumpulan C turut membabitkan pertemuan antara gergasi selatan, Johor FC dan Sarawak yang dianggap sebagai pelengkap jadual perlawanan.
Ini kerana, kedua-dua pasukan itu telah ditunjukkan jalan keluar pada saingan Piala Malaysia kali ini.
Aksi suku akhir Piala Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 4 Oktober depan telah dipinda 10 hari kemudian bagi memberi ruang kepada pemain-pemain yang menyarung jersi kebangsaan menjelang aksi persahabatan menentang Australia di Sydney kelak.
Faizal memberitahu, pasukannya masih berteka-teki mengenai kesebelasan utama yang bakal diturunkan ketika menentang Red Warriors nanti meskipun masih segar dengan kemenangan 2-0 di Stadium Selayang sebelum ini.
"Apa yang pasti, kami akan berusaha tidak mengulangi kesilapan seperti mana ketika menentang Sarawak semalam (malam kelmarin), yang mana nasib jelas tidak menyebelahi kita apabila tetap kalah walaupun menguasai sebahagian besar permainan," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...