Monday, September 26, 2011

Tanpa Devan, rentak Selangor tidak terjejas


Gerakan pemain Selangor, M. Fitri Shazwan Raduwan (kiri) disekat pemain PDRM, Hafaizi Salim pada perlawanan Piala Malaysia di Paroi, Seremban kelmarin.


SEREMBAN - Ketiadaan K. Devan tidak menjejaskan rentak permainan Selangor apabila menumbangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 pada saingan kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi kelmarin.

Jurulatih baharu pasukan itu, P. Maniam berkata, para pemainnya menunjukkan semangat yang tinggi, meskipun tertekan apabila semua pihak mengharapkan kemenangan pasukannya selepas kekalahan yang menimbulkan kemarahan penyokong.

"Saya berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini. Mereka mahukan gol dan melakukan banyak serangan.

"Saya gembira kerana mereka bermain dengan penuh semangat walaupun PDRM membuat beberapa serangan balas yang agak mencemaskan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Gol Selangor kelmarin dijaringkan ketua pasukan Mohd. Amri Yahyah (minit ke-31), Safiq Rahim (minit ke-44), Mohd. Amirulhadi Zainal (minit ke-71) dan pemain gantian, Rudie Ramli (minit ke-89).

Gol tunggal PDRM dijaringkan Mohd. Fauzi Abd. Majid pada minit ke-62.

Tambah Maniam, menang selesa pada perlawanan pertama sebagai jurulatih merupakan keputusan yang baik.

"Pemain perlu meningkatkan keupayaan pada perlawanan dengan Kuala Lumpur, di Shah Alam Selasa ini. Ia adalah perlawanan hidup mati kami," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...