Monday, September 26, 2011

Razip yakin jumpa Selangor


KUALA LUMPUR - Bermula garang dengan dua kemenangan dalam Kumpulan D, Kuala Lumpur masih gagal mengesahkan slot suku akhir Piala Malaysia.

Skuad warga kota juga berkemungkinan bakal dikecewakan oleh pasukan jiran, Selangor pada perlawanan terakhir di Stadium Shah Alam, esok.

Biarpun hanya memerlukan keputusan seri bagi mengekalkan kedudukan tempat kedua di
belakang T-Team, Kuala Lumpur berdepan laluan sukar bagi menghalang Selangor yang sudah pulih semangat selepas peletakan jawatan K. Devan.

Namun itu semua tidak menggusarkan jurulatih Kuala Lumpur, Mohd. Razip Ismail yang optimis pasukannya berada pada laluan yang betul untuk ke suku akhir buat pertama kali sejak 1992.
Skuad Razip seri dalam aksi tiga perlawanan terakhir termasuk seri 1-1 dengan T-Team, Sabtu lalu.

"Tiada istilah takut terhadap kekuatan Selangor sebaliknya saya harap para pemain mampu berjuang habis-habisan sehingga minit terakhir perlawanan.

"Ia adalah pertemuan hidup mati kami jika mahu melangkah jauh, inilah satu-satunya peluang kami, " katanya ketika dihubungi, semalam.

Seri tanpa jaringan dengan PDRM pada perlawanan keempat, menjejaskan peluang Kuala Lumpur untuk layak lebih awal dan Razip menganggap keputusan itu hanya melambatkan laluan mereka ke suku akhir.

"Saya kecewa dengan keputusan dengan PDRM kerana dalam perlawanan itu kami sepatutnya memungut tiga mata, kini kami memilih jalan sukar untuk layak.

"Walaupun begitu, saya tetap berfikiran positif bahawa keputusan itu hanya melambatkan peluang kami untuk layak lebih awal, " katanya.

Pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, Kuala Lumpur berjaya mengikat T-Team 1-1 hasil jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-46 sebelum Indra Putra Mahayuddin meletakkan kelab dari Pantai Timur itu di hadapan pada minit ke-28.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...