Wednesday, September 14, 2011

Selangor 'merah padam'

Kuala Lumpur buat jagoan mula terasa bahang saingan Kumpulan D 

PERTEMBUNGAN tetangga dua seteru Lembah Klang berakhir dengan Kuala Lumpur dan Selangor sekadar seri 0-0 pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi buat menyaksikan skuad warga kota terus mengukuhkan kedudukan di tangga teratas berbekal tujuh mata.

Beraksi di atas padang licin akibat hujan lebat sebelum perlawanan, Selangor yang jelas menguasai separuh masa pertama memperoleh tiga peluang terbaik tetapi dinafikan kecekapan penjaga gol Kuala Lumpur, Norazlan Razali.
Hantaran jauh kapten Selangor, Amri Yahyah pada minit ke-15 disepak tepat Fitri Shazwan Raduwan ke arah Norazlan manakala percubaan Fadzli Saari dan Rudie Ramli pada minit ke-31 dan 35 diselamatkan dengan cemerlang pelatih skuad kebangsaan itu. 

Kuala Lumpur yang jarang menyerang hampir mengejutkan Selangor menerusi serangan balas pada minit ke-42, namun hantaran leret See Kok Luen gagal disudahkan dengan tepat Yong Kuong Yong kerana penjaga gol pelawat, G Jeevananthan sudah menutup ruang. 

Pada masa kecederaan babak pertama, sepakan percuma kaki kiri Amri hampir memerangkap Norazlan tetapi ia sekadar menggegar palang gol Kuala Lumpur untuk kedudukan tanpa jaringan menuju bilik persalinan. 

Bersambung babak kedua, sentuhan penyudah Selangor terus tumpul dengan rembatan Fadzli pada minit ke-57 ditepis Norazlan manakala tandukan P Gunalan hasil sepakan percuma Hardi Jaafar sekadar sipi pada minit ke-74. 
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin, T-Team merakam kemenangan kedua dengan membelasah Polis 4-0 sekali gus melonjak ke tangga kedua Kumpulan D.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...