Wednesday, September 14, 2011

Malaysia tidak gentar Jepun


BARANGKALI, sesiapapun tidak boleh menidakkan keupayaan Jepun yang dilabel gergasi bola sepak Asia.
Malah atas kertas, keupayaan Malaysia juga bagai langit dengan bumi jika hendak dibandingkan dengan Jepun.
Tanggal 21 September ini menjadi tarikh penting buat Malaysia yang akan berdepan skuad Samurai Biru itu pada aksi pembukaan Kumpulan C, pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia di Stadium Tosu.
Jepun pasti boleh berbangga kerana memiliki bintang muda Arsenal, Ryo Miyaichi yang dikhabarkan akan turut beraksi dalam cabaran kali ini.
Enggan mengibarkan 'bendera putih' sebelum berjuang, pengendali skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee bagaimanapun tetap optimis anak- anak buahnya mampu memberikan tentangan yang sengit meskipun menyedari pasukan lawan berada dalam kelas tersendiri.
Kim Swee berkata, daripada tunduk dengan tekanan menghadapi pasukan-pasukan yang kuat, adalah lebih baik setiap pemain mempercayai kemampuan diri sendiri.
"Tidak kiralah mereka (Jepun) ada Miyaichi atau tidak, pemain kita tidak sepatutnya gentar dan sentiasa fokus serta mengikut arahan.
"Jangan kita mengaku kalah sebe- lum berjuang menentang Jepun, kita lawan dahulu baru tahu," kata Kim Swee kepada Kosmo! semalam.
Menurut beliau, skuad Olimpik negara akan kembali diperkuatkan dengan kehadiran semula tiga tonggak, Wan Zack Haikal Wan Nor, Irfan Fazail dan Fadhli Shas yang baru tiba di tanah air selepas mengikat kontrak pinjaman selama dua bulan dengan kelab Liga Corgon Slovakia, ViOn Zlate Moravce.
"Buat masa ini, ketiga-tiga pemain tersebut masih belum pasti dapat diturunkan ketika menentang Jepun kelak.
"Tahap kecergasan mereka akan dinilai ketika latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang skuad Olimpik Oman, Khamis ini (esok)," katanya.
Kim Swee memberitahu, kehadiran muka-muka baharu di jentera serangan seperti Ahmad Hazwan Bakri dari Kuala Lumpur dan Izuan Solahuddin (Kelantan) juga memberikan lebih banyak pilihan kepada beliau dalam mencongak strategi memburu gol awal ketika menentang Jepun kelak.
Selain penampilan kedua-dua pemain berkenaan, Kim Swee juga dilihat memiliki banyak pilihan di jentera serangan seperti Izzaq Faris Ramlan, A. Thamil Arasu, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ferris Danial Mat Nasir.
"Namun saya masih belum mendapat ilham siapa kesebelasan utama yang akan dipilih nanti memandangkan pengalaman pemain juga memainkan peranan ketika menentang pasukan yang kuat seperti Jepun," katanya.
Ditanya mengenai sikap membisu Syria yang masih belum memberi jawapan berhubung penangguhan perlawanan pada 23 November depan kerana ia terlalu hampir dengan tarikh final temasya Sukan SEA, Kim Swee berkata:
"Daripada menunggu buah yang tidak gugur, ada baiknya saya menumpukan sepenuh perhatian terha- dap perlawanan menentang Jepun terlebih dahulu."
Skuad Olimpik negara akan bertolak ke 'Negara Matahari Terbit' itu pada Jumaat ini.
Selepas berdepan Jepun, anak- anak buah Kim Swee akan menanti kunjungan Syria sebelum bertemu Bahrain empat hari kemudian.
Dalam masa yang sama, mereka juga akan menggalas tanggungjawab mempertahankan pingat emas pada Sukan SEA di Indonesia, November depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...