"JIKA Liverpool mampu bangkit ketika menentang AC Milan selepas ketinggalan tiga gol untuk menjulang Piala Eropah pada tahun 2005, mengapa kita (Selangor) tidak boleh berbuat demikian?.
Kata-kata perangsang jurulatih, P. Maniam menjadi pencetus semangat pemain Gergasi Merah itu di bilik persalinan ketika ketinggalan 0-1 kepada Kuala Lumpur menerusi jaringan, Muhd. Shahrom Abdul Kalam pada minit ke-37.
Nyata, sentuhan Maniam akhirnya menjadi apabila jaringan Mohd. Razman Roslan pada minit ke-65 menyamakan kedudukan sebelum Amri Yahyah selaku ketua pasukan menglengkapkan kemenangan dengan menanduk bola ke gawang pasukan pelawat selang sepuluh minit kemudian.
Kemenangan ke atas Kuala Lumpur bukan sahaja melayakkan Selangor ke pusingan suku akhir Piala Malaysia malah menyelamatkan maruah pasukan Gergasi Merah itu yang mempamerkan aksi hambar sebelum ini.
Maniam berkata, semangat untuk memburu kemenangan mula hadir selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 3-0 pada 24 September lalu juga antara salah satu pencetus terhadap kebangkitan mereka.
"Selepas menang dengan PDRM, keyakinan pemain-pemain saya untuk memburu kemenangan bertambah baik dan berjaya bekerja sebagai satu pasukan.
"Namun ketika menentang Kuala Lumpur semalam (kelmarin), selepas ketinggalan satu gol (menerusi Muhd. Shahrom) pada minit ke-37, saya memberitahu jika Liverpool mampu menjadi juara Eropah walaupun ketinggalan tiga gol, sudah tentu kita boleh lakukan juga," katanya ketika ditemui Kosmo!semalam.
Jelasnya, beliau bangga dengan semangat pemain yang tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai keyakinan tinggi untuk mencapai kemenangan untuk melayakkan diri ke peringkat suku akhir.
Katanya, Misi 33 Piala Malaysia masih menjadi keutamaan Selangor namun apa yang lebih penting adalah menumpukan perlawanan menentang Perak dalam suku akhir pertama nanti.
"Sudah tentu Misi 33 masih menjadi keutamaan pasukan Selangor. Akan tetapi, saya tidak mahu berfikir terlalu panjang (mengenai Misi 33) sebaliknya fokus dahulu pertemuan dengan Perak di Stadium Shah Alam pada 4 Oktober ini.
"Walaupun Perak beraksi tanpa lima tonggak utama (Shahrulnizam, Akhmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd. Nasril Nourdin, Mohd. Syazwan Roslan dan Azmeer Yusoff), namun prestasi skuad kendalian Norizan Bakar ini jelas cemerlang apabila muncul juara Kumpulan A.
No comments:
Post a Comment