Saturday, September 24, 2011

Misi hidup mati Selangor


JIKA menang masih bernyawa, namun jiwa tewas selamat tinggallah jawabnya.
Demikian misi hidup dan mati juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor bagi menghidupkan semula sisa-sisa perjuangan mereka menjelang pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada aksi Kumpulan D saingan Piala Malaysia 2011 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam ini.
Jika gagal memburu tiga mata berharga, skuad Gergasi Merah sudah boleh mengucapkan selamat tinggal kepada saingan kali ini, sekali gus menyaksikan misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 bakal terkubur begitu sahaja.
Menang 2-0 dalam pertemuan di Shah Alam sebelum ini juga belum tentu menyelamatkan maruah skuad Merah Kuning itu lantaran masih berduka dengan pemergian jurulatih, K. Devan yang meletakkan jawatan secara mengejut Isnin lalu.
Sudah tentu PDRM yang dikendalikan K. Thayananthan, bertekad mahu menjadi pasukan 'pengacau' dalam kumpulan lantaran dilihat tidak lagi mempunyai harapan untuk mara lebih jauh apabila sekadar mengutip satu mata setakat ini.
Malah, keajaiban membabitkan satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur dan T-Team yang ketika ini selesa dengan lapan dan sembilan mata malam ini juga pasti menerbitkan rasa resah pengendali baharu Selangor, P. Maniam yang ketika ini masih tercari-cari tonik terbaik bagi menjamin slot ke suku akhir.
"Saya mungkin melakukan sedikit perubahan taktikal di tengah padang, namun tidak menolak kemungkinan mengekalkan pemain sedia ada ketika menentang PDRM kelak.
"Ketika ini, kami hanya mahu menang dan tidak mahu memikirkan apa jua keputusan yang akan dicatatkan oleh T-Team dan Kuala Lumpur," katanya kepada Kosmo! semalam.
Jurulatih berusia 43 tahun itu dijangka menurunkan barisan terbaik Selangor termasuk mengekalkan gandingan Fazli Saari dan Rudie Ramli di jentera serangan.
Kredibiliti kapten, Amri Yahyah bersama Safiq Rahim dan Hardi Jaafar juga benar-benar ditagih Maniam bagi menggerakkan corak serangan dari tengah padang.
Menurut Maniam, semangat pemain Selangor masih membara meskipun menyedari ranjau yang cukup berliku menanti mereka di Paroi malam ini.
"Selain menyerang habis-habisan, benteng pertahanan Selangor juga diingatkan supaya tidak mudah alpa bagi memastikan skrip tewas di tangan T-Team meskipun perlawanan cuma berbaki 10 minit, tidak lagi berulang," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...