Thursday, September 22, 2011

Perak idam taji Safiq, Hadi, Fadhli


PERAK berminat mendapatkan khidmat kapten pasukan kebangsaan Safiq Rahim serta dua rakannya iaitu Abd Hadi Yahya dan Mohamad Fadhli Mohd Shahs bagi memantapkan pasukan Seladang untuk menghadapi kempen Liga M tahun depan.

Keinginan mengambil pemain Selangor, Terengganu dan Harimau Muda A itu disuarakan pengurus merangkap Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Khairul Azwan Harun di Ipoh, semalam.

“Pafa ingin menawarkan kontrak kepada tiga pemain terbabit untuk mewakili kami pada musim depan. Kami mengambil langkah awal ini kerana sedar ia boleh diambil dengan mematuhi syarat yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


“Kami akan melakukannya secara profesional termasuk menghubungi serta menghantar surat kepada pihak terbabit dalam masa terdekat ini untuk menyatakan tujuan Pafa itu,” katanya.

Katanya, tindakan Pafa itu tidak melanggar syarat dan peraturan kerana mengikut lunas dibenarkan FAM terutama tempoh dibenarkan untuk mengadakan rundingan.

“Pemain yang akan tamat kontrak boleh mengadakan rundingan dengan pasukan lain tiga bulan sebelum tamat ikatan tanpa perlu memaklumkan kepada majikannya.



“Bagaimanapun Pafa akan melakukannya dengan penuh semangat kesukanan dengan memaklumkan kepada majikan pemain terbabit,” katanya.

Katanya, kesungguhan Perak untuk mendapatkan khidmat trio itu menyaksikan Pafa bersedia untuk ‘membeli’ kontrak pemain jika masih mempunyai ikatan dengan majikan lamannya .


“Kita serius dalam perkara ini dan sehubungan itu akan mengorak langkah awal kali ini dalam usaha menubuhkan pasukan mantap untuk musim baru akan datang,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...