PENYERANG sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha meletakkan sasaran mara ke separuh akhir saingan Piala Malaysia musim ini selepas meledakkan dua gol dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan ketika menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Ayam tambatan Kelantan yang lebih popular dengan panggilan Mat Yo itu tekad mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi The Red Warriors tahun lalu, dengan gol ketika menentang Felda United itu menjadi pemangkin.
“Untuk perlawanan di peringkat suku akhir, kami harap dapat meneruskan momentum cemerlang dan meningkatkan lagi kualiti permainan kerana saingan pasti lebih mencabar,” katanya.
Ketua jurulatih, Datuk M Karathu berkata, pasukannya kini mempunyai masa membuat persiapan sebelum beraksi di suku akhir menentang juara Piala FA, Terengganu pada 10 Oktober ini.
Katanya, sebelum tiba kemuncak perlawanan di suku akhir, jurulatih berpengalaman dari Perak itu berharap pemainnya yang cedera segera pulih kerana tentangan sengit pasti menunggu juara bertahan itu.
“Kami ada masa untuk membuat percaturan sebelum beraksi di suku akhir namun beberapa pemain yang mengalami kecederaan mengganggu sedikit persiapan kami. Kami harap mereka segera pulih,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan memberikan bonus RM2,000 kepada setiap pemain atas kejayaan layak ke suku akhir Piala Malaysia.
Bonus itu akan disampaikan pada Majlis Hari Terbuka 1Malaysia Mayang Parlimen Ketereh di Dewan Tun Ghafar Baba, Komplek Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Padang Kala, Melor jam 8.30 malam, esok.
No comments:
Post a Comment