Tuesday, September 13, 2011

Belum ada hitam putih


TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Syria (SFA) yang masih membisu mengenai permohonan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menunda perlawanan pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London 2012 pada 23 November ini menyebabkan jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee (gambar) dilanda keresahan.

Selepas lebih dua minggu FAM mengemukakan permohonan untuk menunda perlawanan kedua Kumpulan C di Stadium Nasional Bukit Jalil itu ke tarikh baru pada 24 November, pihak SFA masih belum menyatakan hitam putih keputusan mereka.

Sedangkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dalam laporan Arena Metro pada 27 Ogos lalu ada menyatakan bahawa permohonan itu mendapat reaksi positif SFA.

Melihatkan situasi itu, Kim Swee berharap agar sebarang keputusan dapat dicapai dalam tempoh terdekat ini tidak kira sama ada permohonan itu berjaya ataupun sebaliknya bagi memudahkan mencari jalan alternatif yang sebaiknya.

“Setakat ini belum ada hitam putih mengenai permohonan itu, kami masih menunggu maklum balas daripada pihak Syria. Saya berharap agar mereka boleh bagi keputusan secepat mungkin, tidak kira boleh ataupun tidak jadual perlawanan itu dipinda supaya memudahkan kami merancang pelan A atau B sebelum berlepas ke Jepun bagi perlawanan pertama,” katanya.

Kim Swee berada dalam dilema berikutan pertembungan jadual perlawanan Sukan Sea di Indonesia dengan perlawanan kelayakan Olimpik London.



Final Sukan Sea dijangka pada 21 atau 22 November ini, terlalu hampir dengan tarikh perlawanan kelayakan Olimpik menentang Syria pada 23 November sebelum berdepan Bahrain (27 November) sedangkan Malaysia mempertaruhkan skuad sama bagi kedua-dua kejohanan itu.

Bagaimanapun sebenarnya agak sukar untuk Syria menerima permohonan Malaysia itu. Jika pasukan yang dibimbing jurulatih Nizar Mahrous itu menerimanya, ia diibaratkan seperti ‘mengorbankan’ diri sendiri.


Ini kerana jika perlawanan itu ditunda kepada 24 November, Syria hanya mempunyai tempoh dua hari untuk membuat persiapan sebelum menentang Jepun di gelanggang lawan pada 27 November.

Di sebalik kebimbangan itu, Kim Swee menjelaskan fokusnya untuk mempersiapkan anak buahnya bagi menghadapi Jepun pada 21 September ini di Stadium Tosu tidak terjejas.

“Persiapan pasukan Olimpik tetap berjalan seperti biasa dan kami akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan menentang Jepun terlebih dulu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...