Thursday, September 22, 2011

Permit kerja halang Cardiff City ikat Safee


KUALA LUMPUR - Masalah permit kerja menjadi penghalang Safee Sali untuk menyarung jersi Cardiff City selepas jurulatih kelab Malky Mackay mengakui terpikat dengan kemampuan pemain kebangsaan itu.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengurus peribadi pemain itu, Zakaria Ab.Rahim semalam yang mendedahkan betapa Mackay amat kagum dengan kebolehan Safee.

"Menerusi berita yang disiarkan di akhbar-akhbar Wales Selasa lalu, Mackay dilaporkan amat puas hati dengan persembahan Safee, selain berminat terhadap pemain tersebut.

"Bagaimanapun Mackay menjelaskan dia tidak mahu menyusahkan dirinya untuk mengikat Safee kerana perlu melepasi halangan di luar padang termasuk urusan permit bekerja di negara itu," katanya.

Tambah Zakaria, Safee memberitahu sekiranya ranking pasukan bola sepak negara berada pada kedudukan yang baik, sudah tentu peluang untuknya bermain dengan kelab Eropah lebih terbuka luas.

Walaupun menerima perkhabaran tersebut, Zakaria berkata, Safee akan memanfaatkan latihan bersama Cardiff City untuk memantapkan persediaan menghadapi Australia pada 7 Oktober depan bersama skuad kebangsaan.

Katanya, Safee juga sedang dalam persiapan untuk kelab Pelita Jaya yang bakal memulakan perlawanan liga bulan depan.

"Isnin lepas latihan keras dijalani oleh semua pemain dalam skuad utama Cardiff City dan Safee turut terlibat sama.

"Walaupun latihan keras dan memenatkan, namun Safee menunjukkan rasa gembira kerana ia boleh digunakan juga untuk mengekalkan kecergasan ketika pulang nanti," jelas Zakaria.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...