JURULATIH T-Team, Yunus Alif sedikit kecewa kerana pemainnya hilang fokus sepanjang 15 minit separuh masa pertama sehingga Polis mampu melancarkan serangan dan hampir menghasilkan gol.
Bagaimanapun, Zairol Anuar Zalani dan Nor Fazly Alias berjaya menjaringkan gol pada minit ke-42 dan 45 untuk meniup semangat juang pasukan T-Team mencatat kemenangan.
Yunus berkata, pada babak kedua, barulah pemainnya beraksi lebih teratur dengan melancar serangan ke kubu lawan serta menghasilkan dua gol lagi melalui Nor Farhan Mohamad dan Fitri Omar untuk menang 4-0.
Beliau berkata, jika barisan serangan bijak menggunakan setiap peluang yang diperoleh sudah tentu T-Team berpesta gol lagi malam kelmarin.
“Kita terlepas banyak peluang menjaringkan gol pada babak pertama melalui Haris Safwan Md Kamal dan Indra Putra Mahayuddin yang kelihatan hilang tumpuan,” katanya.
Yunus tidak menolak pemainnya mungkin terlalu memandang mudah keupayaan lawan hingga beraksi sambil lewa pada babak pertama.
“Saya sudah ingatkan pemain supaya bermain cara mudah dan jangan hilang tumpuan jika mahu mencatat kemenangan. Apapun saya gembira mereka menghadirkan kemenangan yang membanggakan ini,” katanya yang mahu pemainnya lebih fokus menentang Selangor, Sabtu ini.
No comments:
Post a Comment