Thursday, September 22, 2011
Devan akui terguris hati
KUALA LUMPUR - Bekas ketua jurulatih Selangor, K. Devan amat terguris hati dengan sikap segelintir penyokong pasukan itu yang memasang sepanduk memintanya meletak jawatan selepas kalah 1-2 kepada T-Team dalam perlawanan Kumpulan D bola sepak Piala Malaysia, Sabtu lalu.
Jurulatih kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, sepanjang tiga tahun bersama Gergasi Merah sejak akhir 2008, dia belum pernah mengalami situasi sedemikian.
Insiden itu menyumbang salah satu punca mengapa dia mengundur diri kelmarin, lebih awal daripada kontraknya yang berakhir 30 November.
“Tiga tahun saya bersama Selangor, tidak pernah ada sepanduk sebegitu ditujukan kepada saya. Hati saya kurang senang dengan tindakan mereka (penyokong Merah Kuning). Mereka tidak menghormati perasaan saya,” katanya yang dipetik daripada temu bual dengan sebuah stesen TV tempatan, semalam.
Devan turut mempersoalkan mengapa penyokong Selangor berkenaan tidak langsung menilai rekod pencapaiannya dengan Merah Kuning seperti membantu mereka menjulang Piala Sultan Ahmad Shah 2009-10, Liga Super 2009-10 dan Piala FA 2009.
“Saya sudah bawa banyak kejayaan buat pasukan Selangor. Saya juga sudah mencuba yang terbaik (bagi musim ini, tempat ketiga Liga Super dan separuh akhir Piala FA) dan penyokong perlu tahu, ada beberapa sebab mengapa pasukan kurang menyerlah kali ini.
“Kami kehilangan (penyerang utama) Safee Sali (berhijrah ke Pelita Jaya Indonesia) dan ramai tonggak tercedera (sejak penghujung liga) tetapi dengan tindakan penyokong itu, saya rasa saya tidak boleh duduk lama lagi (bersama Selangor),” katanya.
Mulai kelmarin juga, tempat Devan diambilalih P. Maniam, yang sebelum ini menjadi penolong jurulatih Selangor.
Maniam pernah mengemudikan pasukan belia negeri menjulang Piala Belia 2006, Piala Presiden 2008 dan pingat perak Sukan Malaysia 2010.
Selangor masih berpeluang ke suku akhir Piala Malaysia jika menewaskan Polis Diraja Malaysia di Paroi, Sabtu ini dan Kuala Lumpur di Shah Alam, Selasa depan selain berharapkan keputusan dan kedudukan pasukan lain, membantu menyebelahi mereka.
Peletakan jawatan Devan, 50, diibaratkan seorang ‘nakhoda yang meninggalkan bahteranya yang hampir karam’ atau ketika ‘anak kapalnya’ terkial-kial untuk terus berjuang menuju haluan iaitu mencapai ‘Misi 33 Piala Malaysia’ Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin yang juga pengurus pasukan Selangor pada
sidang akhbar khas di Shah Alam, kelmarin, pula enggan mendedahkan sebab sebenar pengunduran ketua jurulatih itu dan hanya bersedia mengumumkannya selepas Piala Malaysia musim ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment