Tuesday, September 20, 2011

Selangor mungkin buat rombakan - Hamidin


KUALA LUMPUR - Tindakan drastik atau rombakan menanti Selangor selewat-lewatnya menjelang menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabtu ini gara-gara kekalahan 1-2 kepada T-Team dalam Kumpulan D Piala Malaysia 2011, kelmarin.

Perkara itu bakal diputuskan dalam mesyuarat khas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dengan tumpuan juga terarah kepada kedudukan jurulatih Merah Kuning, K. Devan.

Selangor kini pada tangga ketiga kumpulan dan hanya mengumpul empat mata dan semakin cemas dalam memburu tempat ke suku akhir.

Pengurus pasukan yang juga Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.

"Mengenai peluang Gergasi Merah, kami perlu memenangi baki dua perlawanan (PDRM di Paroi dan Kuala Lumpur di Shah Alam)

"Apa juga keputusan pasukan lain dalam perlawanan mereka (termasuk pendahulu kumpulan, T-Team selepas itu), kami tidak mahu ambil kisah," katanya.

Hamidin tetap yakin secara matematiknya, 'Misi 33 Piala Malaysia' Selangor yang dicanangkan kepada penyokong setia mereka beberapa hari selepas Aidilfitri lalu, masih relevan, asalkan mereka menewaskan PDRM dan menjinakkan pasukan jiran, Kuala Lumpur.

Prestasi musim ini menyaksikan skuad Devan hanya menang sekali, satu seri dan dua kalah yang membimbangkan penyokong mungkin ia lebih buruk berbanding terkandas pada suku akhir musim lalu.

Sementara itu, insiden pemain tengah, Safiq Rahim berperang mulut dengan segelintir penyokong Selangor ketika ditemu bual wakil media selepas menentang T-Team di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu, turut mendapat perhatian Hamidin.

"Kami akan memanggil beliau. Kami akan kaji apa sebabnya kerana ketika itu saya sudah masuk ke bilik persalinan pasukan dan tidak perasan ia berlaku.

"Saya dimaklumkan, dia mungkin agak emosi kerana baru sahaja kalah dan dikecam penyokong yang lebih kurang berbunyi, 'tak payah temu bual dia sebab sudah kalah' lalu dia pun membalasnya (dengan nada mencabar)," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...