SEKALIPUN puas hati dengan tiga kemenangan berturut-turut yang dicatat Negeri Sembilan, termasuk mengenepikan juara Piala FA musim ini, Terengganu, 1-0, malam kelmarin untuk mendahului carta Kumpulan B, ketua jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah enggan menghela nafas lega.
Sebaliknya beliau mengaku barisan depan pasukan itu perlu dimantapkan lagi berikutan banyak peluang diperoleh gagal dimanfaatkan apabila tidak kurang lima peluang terbaik terutama menerusi penyerang berpengalaman, Hairudddin Omar, gagal disempurnakan.
“Banyak peluang gagal disempurnakan barisan depan namun saya bersyukur kerana misi mendapatkan mata penuh tercapai walaupun kita ditentang hebat.
“Memang kita sudah jangka situasi itu kerana lawan memiliki kekuatan tersendiri, apapun saya puas hati dengan persembahan pemain dan rentak kemenangan ini perlu dikekalkan pada perlawanan akan datang untuk layak ke suku akhir,” katanya.
Negeri Sembilan meraih kemenangan mutlak menerusi jaringan pemain sayap, Shahurain Abu Samah pada minit ke-64 sekali gus mengumpul sembilan mata hasil tiga kemenangan berturut-turut.
Azraai mengaku kemenangan itu hasil semangat berpasukan yang tinggi apabila terus melakukan asakan ke kubu lawan sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Menurutnya, gandingan tiga penyerang Hairuddin, Ahmad Fakhri Saarani dan Mohd Firdaus Azizul sambil dibantu pemain sayap Shahurain Abu Samah dan S Kunalan tampak berkesan.
“Saya harap pemain dapat meneruskan rentak cemerlang ini pada perlawanan berikut bagi melebarkan penguasaan pasukan,” katanya.
No comments:
Post a Comment