Tuesday, September 27, 2011
Sathia bimbing ATM
KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih kebangsaan dan Kelantan, B. Sathianathan menyertai pasukan berstatus Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan azam menjulang skuad barunya itu.
Dengan dibantu tiga penolong jurulatih iaitu Kamaruddin Mohd. Nor, Shahrin Majid dan Abdul Hamid Ramli, Sathianathan berkata, dia mengintai sekurang-kurangnya tiga pemain berstatus pemain skuad kebangsaan bagi menguatkan cabaran ATM, yang menduduki tempat ketujuh Liga Perdana musim ini.
Sathia berkata, keputusannya menyertai ATM adalah atas faktor keluarga, selain kagum dengan misi jangka panjang ATM untuk muncul antara pasukan terbaik dalam bola sepak tempatan.
"Selama ini saya kerap berjauhan dengan keluarga (di Subang). Tahun ini anak saya akan menduduki peperiksaan, selain itu saya juga baru berkahwin.
"Apabila ATM menyatakan minat terhadap saya, saya berbincang dengan Presiden KAFA (Persatuan Bola Sepak Kelantan), Tan Sri Annuar Musa.
"Saya menerima cabaran melatih ATM kerana saya memang sukakan cabaran.
"Misi saya mahu membawa kejuaraan Liga Perdana musim depan buat ATM selain melangkah sejauh yang boleh dalam Piala Malaysia dan Piala FA, " katanya pada Majlis Tandatangan
Kontrak Jurulatih Bola Sepak ATM Musim 2012 di Wisma Pertahanan, semalam.Hadir sama ialah Presiden Bola Sepak ATM, Tan Sri Jeneral Zulkifeli Mohd. Zin.
Sathia mengesahkan dia berjaya menyambar seorang pemain import dari benua Amerika Selatan, namun enggan mendedahkan identiti pemain berkenaan.
Dia juga mengesahkan sedang merisik tiga pemain yang beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
"Seorang lagi pemain import akan saya putuskan selepas mengkaji kelemahan dalam pasukan ATM, ia mungkin pemain pertahanan atau tengah, itu saya belum pasti," katanya.
Beliau juga menegaskan tidak akan mengambil pemain Kelantan.
"Perkara ini saya bincang dengan Tan Sri (Annuar Musa) sebelum ke ATM, melainkan saya mengambil pemain mereka secara pinjaman terutama skuad Piala Presiden, " ujarnya.
ATM akan menggunakan Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) sebagai gelanggang tuan rumah pada musim hadapan selepas beberapa musim beraksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment