Thursday, September 29, 2011

FAM bantu Safee atasi isu permit kerja


SAFEE Sali bersama pengurus peribadinya, Zakaria Ab. Rahim ketika pemain kebangsaan itu tiba di KLIA, Sepang semalam setelah selesai menjalani latihan bersama Cardiff City. - UTUSAN/Wahidin Salim

JOHOR BAHRU - Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) akan membantu menyelesaikan masalah permit kerja dan visa yang dihadapi Safee Sali, seandainya penyerang kebangsaan itu mendapat tawaran beraksi bersama kelab England, Cardiff City.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengakui agak sukar untuk Safee mendapatkan permit kerja dan visa berikutan peraturan ketat di negara tersebut.

Begitupun ujarnya, masih ada peluang untuk menyelesaikan masalah terbabit melalui budi bicara antara FAM, kelab Cardiff City dan juga Persatuan Bola Sepak England.

"FAM tidak menghalang niat Safee untuk beraksi bersama Cardiff City, malah berbangga seandainya dia terpilih untuk menyarung jersi pasukan berkenaan.

"Saya berharap Cardiff City menerusi Datuk Chan Tien Ghee dapat menyediakan satu mekanisme terbaik buat Safee selepas dia dikatakan berjaya memikat pengurus pasukan Malky Mackay," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Kejohanan Hoki Bawah 21 Piala Sultan Johor, semalam.

Safee sebelum ini mengalami kesukaran bagi menyarung jersi Cardiff City gara-gara masalah permit kerja.

Antaranya termasuklah ranking Malaysia yang ketika ini begitu jauh daripada syarat kelayakan kelompok 70 pasukan terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selain perlu beraksi lebih 75 peratus dalam perlawanan berstatus A ketika mewakili pasukan kebangsaan.

Menurut Tengku Abdullah, Tien Ghee perlu berbincang dengan kelab Pelita Jaya yang kini diwakili Safee, seandainya berminat untuk mendapatkan penyerang kebangsaan itu.

Sementara itu, Tien Ghee mengesahkan Safee akan menjalani ujian kedua dalam tempoh terdekat dan akan mengadakan perbincangan dengan kelab Pelita Jaya untuk membawa pemain kebangsaan itu ke Cardiff City.

"Safee harus kembali ke Pelita Jaya memandangkan saingan Liga Super Indonesia akan bermula tidak lama lagi.

"Saya sendiri akan mengadakan pertemuan dengan pengurusan kelab berkenaan untuk mendapatkan tarikh sesuai bagi membawa Safee menjalani latihan kedua," katanya.

Mengulas mengenai isu permit kerja Safee, meskipun mengakui ia agak ketat, namun beliau percaya pasti ada cara untuk memungkinkan Safee beraksi di kelab Cardiff City, namun semuanya bergantung kepada keputusan pihak Liga Kejuaraan Inggeris.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...