Friday, September 30, 2011

PBNS buru dua awang import


SEKALIPUN fokus ketika ini terarah kepada persiapan menghadapi saingan suku akhir Piala Malaysia 10 Oktober ini, persiapan bagi musim depan turut diberikan perhatian oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila sudah merancang untuk mendapatkan dua pemain import.

Menteri Besar yang juga Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata dua pemain berkenaan membabitkan posisi penyerang dan pertahanan dengan pemain dari negara Slovakia antara yang menjadi pilihan.

Begitupun beliau berkata, PBNS tidak akan bertindak terburu-buru memilih pemain import kerana tidak mahu `pisang berbuah dua kali’ sebaliknya lebih berhati-hati bagi memastikan pemain dibawa benar-benar berwibawa dalam membantu kejayaan pasukan.


Menurutnya, pencarian pemain berkenaan dijalankan menerusi persatuan bola sepak negara terbabit dan bukannya melalui ejen seperti sebelum ini, bagi mengelak sebarang kesilapan apabila pemain dipilih tidak menepati kriteria diperlukan.

“Malah kita juga tidak mahu lagi mengambil pemain import dari negara Afrika kerana berdasarkan pengalaman lepas, ramai pemain dari negara itu yang dibawa ke sini tidak menepati apa yang kita harapkan dan gagal membantu kepada kejayaan pasukan.

“Kali ini kita memerhatikan pemain dari Slovakia yang dilihat lebih sesuai namun kita juga perlu melihat dari segi kemampuan kewangan persatuan sebelum bersetuju menerima mereka,” katanya di Seremban, semalam.



Menurut Mohamad, Negeri Sembilan perlu membentuk skuad lebih mantap bagi musim depan kerana pihaknya yakin saingan bakal lebih mencabar dan Negeri Sembilan mahu terus berada dalam senarai pasukan terbaik bagi menjulang setiap piala yang dipertandingkan.

“Kita berharap usaha yang dilakukan akan membuahkan hasil bagi meletakkan Negeri Sembilan terus cemerlang,” katanya.


Sebelum ini FAM sudah memberi lampu hijau kepada setiap pasukan untuk mengambil dua pemain import bagi saingan musim depan, mengikut kemampuan kewangan masing-masing.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...