BIARPUN sudah layak ke suku akhir, Perak tidak akan menjadikan perlawanan terakhir dengan Kedah di Alor Setar malam ini sekadar pelengkap jadual.
Sebaliknya jurulatih Seladang, Norizan Bakar berkata, Perak akan mempamer persembahan terbaik dalam usaha menjaga momentum pasukan.
“Tiada istilah mengendur atau melonggarkan permainan. Kami akan turun seperti biasa dan mempamer persembahan terbaik,” katanya.
Malah jurulatih itu mengingatkan anak didiknya supaya tidak takbur selepas kejayaan awal mengesah tempat ke suku akhir piala yang menjadi lambang keagungan bola sepak negara itu.
Pencapaian itu sekali gus menutup mulut pengkritik yang sebelum ini meragui kemampuan pasukan Kejor Yob Kejor serta kewibawaan pengendali berpengalaman itu.
“Saya bersyukur dan ucapkan tahniah kepada pemain kerana berjaya layak ke suku akhir. Ia hasil kerja keras dan kesungguhan setiap pemain.
“Kini saya harap mereka mampu mengekalkan rentak dalam baki cabaran kami. Masih banyak kerja yang perlu dilakukan. Perjuangan kami baru separuh jalan,” katanya.
Justeru Norizan yang lebih gemar merendah diri tidak mahu pencapaian skuad kendaliannya itu terlalu diperbesar-besarkan kerana belum berjaya mencapai apa-apa kemenangan.
“Semua ini usaha pemain. Mereka yang bertungkus-lumus untuk menghasilkan kejayaan ini,” katanya. Walaupun pertembungan dengan pasukan Kenari sudah tidak bermakna terhadap kedudukan Seladang yang tidak boleh digugat selaku juara kumpulan A, Norizan tetap menuntut persembahan bermutu daripada anak buahnya, malam ini.
“Perlawanan ini tetap penting kerana ia berkaitan dengan moral dan semangat pemain dalam kempen seterusnya terutama di suku akhir.
“Jika boleh biarlah kami lengkapkan jadual dengan nota cemerlang,” katanya.
No comments:
Post a Comment