Wednesday, September 21, 2011

Devan letak jawatan


P. Maniam (kiri) memulakan tugasnya sebagai pengendali baru Selangor selepas K. Devan mengumumkan peletakan jawatan, semalam. - UTUSAN/Saharuddin Abdullah



SHAH ALAM - K. Devan secara persetujuan bersama dengan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan Merah Kuning berkuatkuasa semalam, ketika anak buahnya masih 'tersepit' untuk ke suku akhir Piala Malaysia dengan baki dua perlawanan Kumpulan D.

Devan membuat keputusan melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 2009, selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAS kelmarin, sekali gus menamatkan kontraknya lebih awal daripada yang dijadualkan berakhir pada 30 November ini.

Kedudukan Devan, yang membantu Selangor menjuarai Liga Super dan Piala FA 2009 dan Liga Super 2010, diambilalih penolong jurulatih, P. Maniam sementara Rosedy Nadzir dinaikkan pangkat membantunya dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Aziz dikekalkan.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Amin berkata, pihaknya sedih dengan keputusan Devan.

Katanya, FAS masih cuba memujuk Devan supaya menarik balik keputusannya tetapi terpaksa akur demi kebaikannya dan pasukan selepas mesyuarat khas pengurusan persatuan dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Mokhtar Ahmad, kelmarin.

"Beliau meluahkan hasrat untuk berundur selepas Selangor kalah 1-2 dengan T-Team, Sabtu lalu dan saya kira bukan rezekinya (sebagai ketua jurulatih) untuk meraih sebarang piala musim ini.

"Kami bagaimanapun 'berpisah' cara baik dan memutuskan untuk menggantikannya dengan Maniam.

"Maniam merupakan bekas pemain Selangor dan Malaysia, malah sudah lapan tahun menjadi jurulatih belia negeri yang memenangi Piala Belia 2006, Piala Presiden 2008 dan pingat perak Sukan Malaysia di Melaka 2010," katanya dalam sidang akhbar khas di Padang
Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, semalam.

Sementara itu, Maniam berkata, beliau akan mencuba yang terbaik mengemudikan Selangor dan memulihkan maruah pasukan yang tercalar khususnya untuk memenangi baki perlawanan Kumpulan D dengan PDRM di Paroi, Sabtu ini dan Kuala Lumpur di Shah Alam.

"Devan macam abang dan sifu (guru) saya. Saya banyak belajar daripadanya tetapi lain jurulatih, lain gayanya. Kita tengoklah bagaimana keputusan perlawanan nanti," katanya yang pernah memangku tugas itu ketika Devan dikenakan tindakan tatatertib oleh FAM dan dilarang berada di bangku pasukan.

Ketua pasukan, Mohd. Amri Yahyah berkata, pemain dukacita dengan pengunduran Devan dan terkejut kerana ia berlaku secara tiba-tiba, tetapi bertekad memberikan komitmen tinggi di padang dan memulihkan maruah Selangor.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...