AKSI tangkas Khairul Fahmi Che Mat menafikan percubaan bertali arus Jepun ketika tumpas 0-2 pada aksi pembukaan Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London kelmarin membuktikan betapa dirinya wajar dilabel sebagai penjaga gol nombor satu negara ketika ini.
Ketika kemampuannya diragui untuk memikul tugas selaku kapten berikutan masalah peribadi sebelum ini, Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek beraksi cemerlang untuk mengelakkan skuad Samurai Biru berkenduri gol di Stadium Tosu.
Biarpun peminat tanah air menganggap pemain Kelantan itu seperti ‘berseorangan’ menentang asakan Jepun, dia bagaimanapun beranggapan sebaliknya.
Katanya, semua pemain menunjukkan kesungguhan untuk menandingi kehebatan Jepun yang mendominasi keseluruhan permainan.
“Tanpa pemain lain saya akan susah, dalam bola sepak kita berusaha dalam satu pasukan dan saya tidak melihat dua gol dilepaskan itu disebabkan kesilapan pertahanan semata-mata,” katanya.
Khairul Fahmi yang berusia 22 tahun berkata, skuad Jepun yang dibimbing Takashi Sekizuka itu tampil lebih hebat berbanding ketika Malaysia kalah dengan jaringan sama di peringkat kumpulan di Sukan Asia Guangzhou tahun lalu.
“Berbanding di Sukan Asia lalu, permainan mereka lebih hebat semalam (kelmarin) mungkin sebab mereka bermain di tempat sendiri,” katanya.
Apek yang turut dipanggil ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Australia di Canberra 7 Oktober depan berkata, mereka perlu meningkatkan prestasi sebelum pertemuan dengan Syria dan Bahrain di gelanggang sendiri, November ini.
Malah Malaysia berpeluang menebus kekecewaan itu menerusi aksi timbal balik menentang Jepun di Kuala Lumpur, pada 22 Februari tahun depan.
“Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki, antaranya komunikasi antara pemain, tapi saya yakin kami boleh terus memberikan cabaran selepas ini,” katanya.
Khairul Fahmi akan pulang ke pangkuan Kelantan bagi kempen Piala Malaysia sebelum menyertai latihan skuad kebangsaan pada 4 Oktober depan.
No comments:
Post a Comment