Thursday, September 15, 2011

Kim Swee cari petunjuk


PETALING JAYA - Aksi persahabatan dengan skuad Olimpik Oman hari ini mampu menjadi petunjuk untuk membentuk skuad terkuat apabila berdepan Jepun pada perlawanan pembukaan Kumpulan C Kelayakan Olimpik Rabu depan.

Pengendali skuad Olimpik, Ong Kim Swee berkata, perlawanan di Stadium Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu, menjadi ujian tahap persediaan pemain apabila menentang juara kejohanan Bawah 23 Asia Barat baru-baru ini.

"Selepas perlawanan itu nanti, tiada lagi perlawanan persahabatan sehinggalah kita bertemu Jepun.

"Jadi saya menekankan tahap kecergasan pemain pada perlawanan esok, dengan menurunkan pemain kesebelasan utama.

"Pemain yang akan diturunkan esok akan bermain sekurang-kurangnya 60 hingga 70 minit dan saya mungkin akan menurunkan 18 pemain sahaja.

"Perlawanan esok tepat pada masanya untuk saya menguji pemain, memandangkan Oman juga berstatus skuad Olimpik dan memiliki reputasi besar di Timur Tengah, " katanya ketika ditemui di padang Wisma FAM, semalam.

Dalam pada itu, Nazirul Naim Che Hashim dan Mohd. Ferris Danial Mat. Nasir mungkin boleh melupakan hasrat ke Jepun, kerana cedera dan Gary Steven Robbat digantung satu perlawanan.

Kim Swee juga mendedahkan telah menilai aksi Jepun menerusi rakaman video dan menyifatkan Samurai Biru pasukan sempurna.

"Jepun tiada kepincangan, ia sebuah pasukan yang hebat. Saya tidak mahu mengulas kehebatan skil individu pemain mereka, sebaliknya mahu melihat apa kelebihan yang kita ada apabila menentang mereka nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...