Friday, September 23, 2011

Mesej dari Jepun


PENJAGA gol skuad Olimpik negara, Khairul Fahmi boleh dianggap wira pada aksi menentang Jepun kelmarin atas kecekapannya mengawal gawang daripada dibolosi mudah oleh lawan mereka.

SEMBANG-SEMBANG kedai kopi ketika ini pastinya rancak berbicara mengenai kekalahan skuad Olimpik negara kelmarin.
Terkulai di Stadium Tosu, Fukuoka apabila tewas 0-2 kepada Jepun pada aksi pembuka tirai Kumpulan C pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia pastinya mengundang begitu banyak pendapat negatif ‘jurulatih tidak bertauliah’ dari luar padang.
Padahal, hakikatnya skuad Olimpik negara menentang Jepun - pasukan yang beraksi di pentas Piala Dunia sejak 1994 serta memegang status selaku pemegang pingat emas Sukan Asia pada tahun lalu.
Lainlah jika skuad negara tewas kepada pasukan yang berada di kelas yang lebih kurang sama, itu barulah cerita berbeza.
Apa yang pasti, mesej yang cukup jelas diberikan oleh Samurai Biru terhadap anak-anak buah Ong Kim Swee bagi menilai apa jua kekurangan dalam skuad sebelum melaksanakan misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA di Palembang, Indonesia November depan.
Turun selaku pasukan underdog, keupayaan skuad negara menyaingi kepantasan negara Matahari Terbit itu meskipun beraksi di depan lebih 22,504 penyokong fanatik tuan rumah juga tidak boleh dipandang sebelah mata.
Pujian juga harus diberikan kepada kapten, Mohd. Khairul Fahmi Che Mat yang begitu cemerlang di gawang negara bagi mengelak keaiban yang lebih besar daripada dimalukan Jepun.
Kerapuhan benteng pertahanan negara yang digalas oleh Mohd. Fadhli Shas, Mohamad Muslim Ahmad, Mahali Jasuli dan Mohd. Zubir Azmi juga harus segera ditangani Kim Swee jika tidak mahu pingat emas Sukan SEA terlepas daripada genggaman.
“Inilah bezanya antara pasukan yang bagus (Jepun) dan pasukan yang kurang bagus, mereka sentiasa mempunyai jawapan untuk mengatasi sebarang kekangan dan tentangan yang diberikan oleh pasukan negara.
“Bagi saya, semua pemain telah beraksi dengan baik terutamanya Khairul Fahmi yang berjaya mengawal gawang daripada dibolosi dengan jumlah jaringan yang lebih banyak, justeru kekalahan ini tidak begitu memilukan,” kata Kim Swee di Jepun semalam.
Jepun menang hasil jaringan Keigo Higashi dan Yamazaki Ryohei pada minit ke-10 dan ke-76 - gol-gol yang dikira mudah apabila kedua-duanya langsung tidak dikawal di dalam kotak penalti negara.
Di sebalik asakan bertali arus pasukan Jepun yang diilhamkan oleh anak buah Takashi Sekizuka sepanjang 90 minit permainan kelmarin, skuad Harimau Malaya juga dilihat tidak begitu mudah mengaku kalah apabila tetap melakukan asakan, cuma ketumpulan penyudah menafikan peluang mereka menggegar gawang Jepun.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...