Sunday, September 18, 2011

Perak selangkah ke suku akhir


MOHD. Failee Mohd. Ghazali merai kejayaan meledak gol kedua Perak ketika menentang Sabah pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh, semalam.




KUALA LUMPUR - Tanpa lima tonggak yang digantung tujuh perlawanan, Perak membuktikan ia bukan penghalang apabila sudah sebelah kaki untuk suku akhir Piala Malaysia selepas mengalahkan Sabah 2-1 di Stadium Perak, semalam.

Perak hanya memerlukan satu mata dalam dua perlawanan terakhir untuk ke pusingan kalah mati hasil gol Fazrul Hazrul Mohd. Kadri (minit keempat) dan penalti Mohd. Failee Mohd. Ghazali (minit ke-46) pada aksi di Stadium Perak semalam.

Gol tunggal Sabah dijaringkan Shahrul Azhar Ture pada minit ketujuh untuk skuad Badak kekal di tangga kedua dengan tujuh mata.

Kedah pula gagal mengambil kesempatan beraksi tempat sendiri di Stadium Darul Aman apabila seri 3-3 dengan pasukan tercorot Kumpulan A, Johor walaupun mendahului menerusi Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-28.

Johor bangkit menerusi gol Mohd. Noraslan Makhtar (minit ke-69) dan gol sendiri Fauzie Nan (minit ke-71).

Walaupun Khyril menyamakan kedudukan pada minit ke-71, Ashadi Mohd. Yusof hampir menjadi wira skuad Johor dengan gol ketiga, tetapi Baddrol Bakhtiar muncul penyelamat Kedah apabila menyempurnakan penalti pada minit ke-83.

T-Team merampas pendahulu Kumpulan D apabila menang 2-1 ke atas Selangor apabila Kuala Lumpur sekadar seri tanpa jaringan dengan PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Di Stadium Shah Alam, walaupun Selangor mendahului hasil jaringan Amri Yahyah pada minit ke-14, T-Team bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Nor Farhan Muhammad pada minit ke-81 sebelum Zairo Anuar Zailani muncul pemusnah dengan gol kedua pada minit ke-87.

Di Stadium Paroi, Negeri Sembilan kalah 0-2 kepada PKNS hasil jaringan Mohd. Fauzan Dzulkfli (minit ke-48) dan Mohd. Norhisham Hassan (minit ke-58).

Terengganu pula menang tipis 1-0 ke atas Sime Darby melalui ledakan Ashari Samsudin pada minit ke-33 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...