Monday, September 19, 2011

‘Hilang fokus punca tewas’


“INI satu pengajaran berharga buat pemain selepas mereka gagal menyempurnakan peluang,” kata ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah, susulan kekalahan skuad bimbingannya 0-2 di tangan Selangor PKNS dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.

Kekalahan itu memaksa Negeri Sembilan terpaksa menunggu keputusan perlawanan berikutnya untuk mengesahkan tempat ke suku akhir.

Pengendali berpengalaman itu menyifatkan hilang fokus menjadi punca kekalahan sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah di halaman sendiri selepas sebelum ini mereka menang ke atas Terengganu dan Sime Darby.


Menurutnya, sebagai contoh kegagalan pemain sayap Shahurain Abu Samah menyempurnakan
sepakan penalti pada minit terakhir separuh mata pertama selain banyak peluang menjaringkan gol tidak dimanfaatkan.

“Pemain hilang fokus hampir sepanjang perlawanan hingga menyebabkan banyak peluang gagal disempurnakan dengan baik dan hasrat mengutip mata di halaman sendiri tidak kesampaian.

“Sebaliknya pasukan lawan meraih mata penuh kerana kesilapan kita dan ini harus menyedarkan pemain supaya tidak lagi leka dan terlalu yakin atau berasa cepat selesa kerana ia jelas boleh membawa padah kepada pasukan,” katanya.



PKNS meraih kemenangan menerusi jaringan Fauzan Dzulkifli pada minit ke-48 dan Norhisham Hassan 10 minit kemudian.

Azraai yang membuat sedikit perubahan dengan menggandingkan Hairuddin Omar, Ahmad Fakri Saarani dan pemain muda, Munir Amran untuk menerajui barisan depan namun mereka dilihat kurang berkesan terutama Munir yang masih cetek pengalaman untuk mengalas cabaran, selain Fakri sendiri tidak banyak percubaan ke arah pintu gol lawan dapat dilakukannya berbanding Hairuddin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...