Wednesday, September 14, 2011

KL paksa Selangor kongsi mata


KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur mengekalkan rekod tanpa kalah dalam Piala Malaysia apabila mengikat Selangor tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), semalam.

Kejayaan meraih satu mata membantu skuad bimbingan Razip Ismail kekal di tangga teratas Kumpulan D dengan kelebihan satu mata mengatasi T-Team yang menang 4-0 ke atas PDRM.

Jika tidak kerana keputusan kontroversi pengadil, Shukri Nor yang enggan menafikan dua penalti kepada Kuala Lumpur pada penghujung perlawanan, Selangor pasti berputih.

Mengutip hanya satu mata bermakna Selangor jatuh ke tangga ketiga kumpulan, dipintas T-Team yang membelasah PDRM 4-0 di Stadium Ismail Nasiruddin Shah.

Kenduri gol T-Team bermula apabila Zairo Anuar Zailani dan Nor Fazly Alias meledak dua gol pantas pada minit terakhir sebelum rehat dan Mohd Fitri Omar serta Norfarhan Muhamad melengkapkan derita PDRM pada babak kedua.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Negeri Sembilan mengukuhkan cengkaman di tangga teratas saingan Kumpulan B selepas menang tipis 1-0 ke atas Terengganu hasil jaringan pemain sayap, Shahurain Abu Samah pada minit ke-64.

Satu lagi perlawanan kumpulan sama menyaksikan PKNS turut menang tipis 1-0 terhadap Sime Darby di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Sementara itu, dua pasukan Johor yang bertandang ke Malaysia Timur mengalami nasib berbeza.

Johor FC lega selepas jaringan tunggal Eddy Helmi Abdul Manan tiga minit memasuki babak kedua cukup untuk menewaskan Sarawak di Stadium Negeri, Kuching.

Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah meneruskan rentak cemerlang membenam Johor 3-1 menerusi dua jaringan Zainizam Marjan dan Radzi Mohd. Hussin. Gol sagu hati Johor dijaringkan Mohd. Azuwad Mohd. Arip.

Perak pula menundukkan Kedah 2-1 di Stadium Perak, Ipoh.

Muhammad Syafiq Jamal meletakkan Perak di depan pada minit ke-15 sebelum disamakan kedudukan oleh Mohd Khyril Muhymeen Zambri. Kealpaan pertahanan Kedah dihukum dua minit kemudian oleh Mohd. Failee Ghazali untuk memberikan tiga mata kepada tuan rumah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...