WAN Jamak Wan Hassan menganggap pengadil perlawanan sebagai punca kegagalan Kedah layak ke suku akhir Piala Malaysia musim ini apabila skuad Kenari itu sekadar seri 1-1 dengan Perak, malam kelmarin.
“Kami sepatutnya dapat dua gol bersih tetapi dirompak pengadil apabila membatalkan dua gol kami pada babak pertama. Pengadil membuat keputusan yang tidak masuk akal,” kata jurulatih Kedah itu.
Jaringan Badrol Bakhtiar seawal minit ke-11 dan Mohd Faizal Abu Bakar pada minit ke-38 dibatalkan pengadil perlawanan dengan alasan pemain Kedah berada dalam keadaan ofsaid selain Faizal mengganggu penjaga gol Perak, Kamarul Affandi.
“Saya mahu FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan pengerusi pengadil melihat semula ulang tayang perlawanan itu bagi memastikan tindakan yang dibuat pengadil itu betul ataupun tidak,” kata Wan Jamak.
Kedah menguasai hampir keseluruhan perlawanan dengan melakukan banyak serangan berbahaya namun gagal menghasilkan gol disebabkan kekentalan pertahanan Perak.
Keputusan kontroversi pengadil itu juga menyebabkan lebih 20,000 penyokong setia tidak puas hati sehingga ada segelintir bertindak agresif membaling objek ke arah pengadil ketika tamat separuh masa pertama.
Mereka juga berkumpul di perkarangan stadium selepas perlawanan sambil bersorak dan menyanyikan lagu pasukan. Keputusan itu menyebabkan Kedah hanya mampu menduduki tangga ketiga Kumpulan A, di belakang Perak dan Sabah sekali gus gagal ke peringkat seterusnya. - Bernama
No comments:
Post a Comment