Monday, September 19, 2011

Gergasi Merah harap keajaiban


AMRI (kiri) dihalang pertahanan T-Team, Nor Fadly Alias pada saingan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

LANGKAH garang Gergasi Merah, Selangor nampak gayanya semakin sumbang.
Tewas 1-2 di tangan pasukan berstatus kelab, T-Team di laman sendiri di Stadium Shah Alam malam kelmarin menjadi petanda yang cukup buruk untuk skuad kendalian K. Devan dalam usaha melangkah lebih jauh dalam aksi saingan Piala Malaysia kali ini.
Hanya keajaiban sahaja dilihat mampu menidakkan Gergasi Merah daripada ditunjukkan jalan keluar lebih awal dalam saingan Kumpulan D.
Apa tidaknya, mereka hanya mampu mengumpul empat mata apabila sekadar mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan dua kekalahan dalam empat perlawanan yang telah diharungi.
"Siapa yang tidak kecewa apabila tetap tewas meskipun menguasai sejak awal permainan.
"Namun ia bukan bermakna kami telah tersingkir, peluang kami masih ada dengan syarat kami harus menang baki dua perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kuala Lumpur selepas ini," kata kapten Selangor, Safiq Rahim kepada Kosmo! semalam.
Nasib jelas tidak menyebelahi Selangor dalam aksi malam kelmarin apabila tewas menerusi dua gol lewat pasukan pelawat hasil jaringan Mohd. Nor Farhan Muhammad dan Zairo Anuar Zailani.
Meskipun mendahului seawal minit ke-14 menerusi jaringan Amri Yahyah, Selangor dilihat semakin tenggelam punca apabila T-Team kembali menggandakan asakan pada penghujung babak kedua, sekali gus membawa pulang tiga mata berharga ke Kuala Terengganu.
Bagi Selangor, kekalahan itu menjanjikan laluan ranjau yang penuh berliku buat mereka bagi memastikan misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 kembali membara.
Selain wajib menang ke atas PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Sabtu ini, Selangor juga masih lagi bernyawa seandainya keputusan seri dicatatkan T-Team dan Kuala Lumpur dalam satu lagi pertemuan Kumpulan D, apabila masing-masing begitu selesa menerajui peringkat kumpulan.
Menurut Safiq, semangat Selangor masih belum luntur meskipun menyedari laluan yang cukup perit bagi meneruskan kemaraan dalam saingan musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...