SEKALIPUN sekadar gol penalti, penyerang Eddy Helmi Manan puas apabila muncul wira Johor FC bagi memastikan skuad Lebah meraih tiga mata menewaskan Sarawak 1-0 di Stadium Negeri, Kuching, kelmarin.
Bekas penyerang kebangsaan itu yang sekian lama kemarau jaringan mula mempamerkan sentuhan penyudah ketika menentang Kelantan namun gol itu tidak bertahan lama selepas tewas 1-2, Sabtu lalu.
Namun nasibnya berbeza menentang Sarawak selepas gol pada minit ke-54 hasil sepakan penalti sudah memadai buat Johor FC meraih tiga mata berharga untuk kembali bersaing dalam pemburuan slot ke suku akhir Piala Malaysia.
“Memang agak gementar apabila mahu mengambil sepakan penalti kerana sudah lama tidak mengalami situasi itu namun saya tekad untuk memastikan sepakan itu menerjah jaring,” katanya.
“Saya lega juga kerana Johor FC mencipta kemenangan selepas mengalami dua kekalahan dan berterima kasih kepada jurulatih, Sazali Saidun yang memberi kepercayaan untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama,” kata Eddy Helmi.
Kemenangan itu juga melegakan pengendali sementara, Sazali yang mengambil alih tugas dari Azuan Zain. Beliau nyata puas hati komitmen barisan pemainnya untuk memastikan tiga mata dapat digapai.
No comments:
Post a Comment