Tuesday, September 13, 2011

KL membara


JUARA 32 kali Piala Malaysia, Selangor perlu meneruskan rentak kemenangan ke atas skuad warga kota, Kuala Lumpur, malam ini bagi mencerahkan peluangnya ke suku akhir.

Namun ia bukan tugas mudah buat skuad K Devan itu terutamanya selepas kejayaan Kuala Lumpur meraih dua kemenangan berturut-turut ke atas PDRM, 3-0 dan T-Team, 2-1.

Malah skuad kendalian Mohd Razip Ismail itu pastinya berkobar-kobar meneruskan rentak kemenangan tiga perlawanan berturut-turut dalam usaha mereka mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Kumpulan D dan meraih salah satu tempat ke suku akhir.


“Harapan tinggi diletakkan kepada kami untuk mengejutkan Selangor dan saya harap ia mampu direalisasikan kerana ini peluang terbaik selepas mencatatkan dua kemenangan terutamanya mengejutkan T-Team, Sabtu lalu,” kata Mohd Razip.

Beliau bagaimanapun tetap menganggap Selangor sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Kumpulan D kerana mempunyai barisan pemain berpengalaman berbanding Kuala Lumpur.

“Seperti dua perlawanan sebelum ini, kami akan mempamerkan semangat juang tinggi dan kerja keras untuk memastikan kemenangan dicapai,” katanya.



Selangor kini menghuni tangga ketiga selepas hanya mencatatkan satu kemenangan berbanding Kuala Lumpur yang meraih mata maksimum.

Pada saingan Liga Super sebelum ini, Selangor diikat 1-1 oleh Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam namun mencatatkan kemenangan 3-1 apabila bertandang ke tempat lawan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...