Monday, September 26, 2011

Selangor kembali bernyawa


AMRI (kiri) beraksi cemerlang untuk membantu kemenangan Selangor ke atas PDRM kelmarin.

JUARA Piala Malaysia sebanyak 32 kali, Selangor kembali bernyawa dalam misi memburu slot ke suku akhir selepas membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam kelmarin.
Jaringan kapten, Amri Yahyah pada minit ke-31, Safiq Rahim (minit ke-44), Amirulhadi Zainal (minit ke-71), dan pemain gantian, Rudie Ramli dua minit sebelum perlawanan tamat sudah cukup untuk membantu Selangor membenam cabaran PDRM yang kini kekal di kedudukan tercorot Kumpulan D.
Meskipun skuad kendalian K. Thayananthan berjaya mendapatkan gol sagu hati menerusi Fauzi Abdul Majid pada minit ke-62, segalanya telah terlewat buat PDRM bagi menghalang langkah skuad Gergasi Merah yang kini kembali ke landasan sebenar memastikan misi menjulang Piala Malaysia buat kali ke-33 bukan sekadar mimpi indah.
Nasib Selangor kini terarah kepada keupayaan anak-anak buah P. Maniam membenam cabaran ‘adik’, Kuala Lumpur di gelanggang keramat di Stadium Shah Alam malam esok.
Hanya kemenangan sahaja mampu menjamin slot Selangor di suku akhir tetapi skuad kendalian Razip Ismail pastinya enggan ‘duduk diam’ apabila sekadar seri 1-1 dengan T-Team dalam satu lagi aksi Kumpulan D malam kelmarin.
Bagi Maniam, 43, hanya kelegaan sahaja yang mampu diungkapkan setelah mengambil alih tugas daripada K. Devan yang meletakkan jawatan minggu lalu.
“Saya betul-betul lega. Yang penting kami menang walaupun hanya berjaya menjaringkan empat gol meskipun memiliki lebih tujuh peluang keemasan semasa perlawanan malam tadi (kelmarin),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selangor yang kini mengumpul tujuh mata mengekori rapat Kuala Lumpur yang dua mata di depan, manakala satu lagi pasukan, T-Team selesa menerajui kumpulan dengan 10 mata.
Skuad kendalian Yunus Aliff ini sudah mengesahkan slot ke suku akhir dan dijangka akan menentang naib juara Kumpulan A sama ada bekas juara Piala Malaysia, Kedah ataupun Sabah.
Peneraju Kumpulan A, Perak sudah menempah slot ke suku akhir selepas mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan dan satu seri.
Bagi Gergasi Merah, jika tewas atau seri mereka sudah boleh mengucapkan selamat tinggal tetapi kemenangan bakal membolehkan mereka memintas kedudukan Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...