BELUM reda isu penggantungan lima tonggak utamanya, Perak mungkin berdepan satu lagi hukuman oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan tindakan peminat membakar mercun dan membaling objek ke dalam padang hingga menyebabkan perlawanan Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Perak terhenti hampir 10 minit, malam kelmarin.
Insiden yang berlaku sejurus selepas Perak menjaringkan gol kedua pada minit ke- 36 yang juga gol kemenangan memaksa pengadil perlawanan, Kamal Ahmad menghentikan permainan berikutan aduan pembantu pengadil 2, Mohd Faisal Sood.
Sehubungan itu pegawai perlawanan segera meninjau keadaan selain pengumuman dibuat meminta peminat agar menghentikan perbuatan itu.
Permainan bersambung selepas lebih ramai anggota Rela berkawal sekeliling stadium selain bahan-bahan yang berada di dalam padang dikutip. Sementara itu seorang remaja ditahan polis tetapi tidak diketahui perkembangan mengenainya.
Gejala bermain mercun perkara biasa di kebanyakan gelanggang semasa perlawanan Liga M tetapi ini kali pertama pengadil menghentikan seketika permainan.
Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mengaku insiden membakar mercun dalam stadium di luar kawalan persatuan itu.
“Agak malang perkara ini terjadi. Pafa sudah memberi peringatan selain anggota polis berpakaian preman ditempatkan di kalangan penonton.
“Kami tidak mahu lakukan kawalan ketat seperti memeriksa penonton kerana ia pasti tidak disenangi kerana mereka tidak selesa. Apa kami boleh lakukan ialah berusaha mengawasi keselamatan penonton,” katanya.
Justeru itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia Dan Sukan merayu penyokong mengawal tingkah laku agar tidak mencetuskan ketegangan semasa perlawanan,” katanya.
Menurut Presiden Pafa itu pihaknya sudah menghantar surat penjelasan mengenai insiden itu kepada FAM.
No comments:
Post a Comment