Sunday, September 25, 2011

Enam layak suku akhir

ENAM pasukan - Kelantan, Perak, Terengganu, Negeri Sembilan, FELDA United dan T-Team mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia tatkala dua lagi slot masih menjadi rebutan empat pasukan - Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor selepas berakhirnya perlawanan kelima, malam tadi.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, Perak muncul juara Kumpulan A dengan 13 mata selepas menewaskan Johor 2-1 hasil jaringan Isma Aliff minit ke-38 dan Failee Ghazali (90) manakala gol tunggal Johor dijaringkan Ashadi Yusof pada masa kecederaan.

Kedah pula menghidupkan peluang ke suku akhir apabila berjaya menewaskan Sabah 1-0 menerusi jaringan Khyril Muhymeen Zambri minit ke-44 di Stadium Darulaman, Alor Setar untuk kedua-dua pasukan kini berkongsi tujuh mata.
Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan dan Terengganu mara ke suku akhir selepas masing-masing menundukkan Sime Darby 2-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan PKNS 1-0 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Kedua-dua pasukan kini berkongsi 12 mata dan pertemuan terakhir membabitkan Terengganu dan Negeri Sembilan di Kuala Terengganu, Selasa ini bakal menentukan siapa bergelar juara kumpulan.

Saingan Kumpulan C juga mengesahkan dua pasukan ke suku akhir apabila Johor FC sekadar mengikat Kelantan 1-1 di Stadium Pasir Gudang apabila gol pendahuluan tuan rumah menerusi Mohd Akmal Mohd Noor pada minit kedua disamakan Azammuddin Akil enam minit kemudian.

Di Stadium Negeri Petra Jaya, Kuching, Sarawak mencatatkan kemenangan pertama dengan menewaskan FELDA United 1-0 hasil jaringan Bobby Gonzalez pada minit ke-17 tetapi pasukan pelawat tetap dapat mengesahkan tempat ke suku akhir. 
Bagi saingan Kumpulan D, Selangor kembali menghidupkan Misi 33 apabila mudah menewaskan Polis 4-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hasil jaringan Amri Yahyah (31), Safiq Rahim (44), Amirulhadi Zainal (71) dan Rudie Ramli (89) manakala Polis membalas menerusi Fauzi Abd Majid (62).

T-Team biarpun belum sah sebagai juara kumpulan, sudah pun layak ke suku akhir dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu apabila jaringan Indra Putra Mahayuddin (28) disamakan penyerang Kuala Lumpur, Ahmad Hazwan Bakri (46).

Selangor kini dengan tujuh mata wajib menewaskan Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam, Selasa ini jika berhajat mengiringi T-Team ke suku akhir.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...