Wednesday, September 14, 2011

Usah risau, Syria sedia tangguh


JURULATIH skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee tidak perlu bimbang kerana isu penangguhan perlawanan kedua Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Syria sudah selesai.

Jaminan itu disuarakan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad selepas menerima perkembangan terbaru daripada rakan sejawatnya di Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Alex Soosay mengenai kesediaan Persatuan Bola Sepak Syria (SFA) menangguhkan perlawanan kepada tarikh baru pada 24 November.

“Alex Soosay sudah menelefon Setiausaha Agung Syria semalam dan Syria memaklumkan akan memberi maklum balas hari ini (semalam). Gambaran yang diberikan (Syria) bahawa permohonan (menangguhkan perlawanan) tak menjadi masalah.


“Syria memberikan reaksi amat positif dan mereka memahami situasi dihadapi skuad negara yang tidak mempunyai masa rehat,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis rumah terbuka Kementerian Belia dan Sukan di Stadium Putra Bukit Jalil semalam.

Arena Metro semalam menyiarkan kebimbangan Kim Swee mengenai nasib anak buahnya yang terpaksa berdepan jadual pada membabitkan perlawanan bola sepak Sukan Sea Indonesia dan pusingan ketiga kelayakan Olimpik London November ini.

Final acara bola sepak Sukan Sea dijangka akan berlangsung pada 21 atau 22 November ini manakala perlawanan dengan Syria di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 November.



Jika Malaysia berjaya mara ke final untuk mempertahankan pingat emas dimenangi di Laos 2009, mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menghadapi perlawanan Olimpik itu.

Azzuddin menjelaskan, kelewatan SFA memberi maklum balas selepas lebih dua minggu FAM mengemukakan permohonan disebabkan masalah dalaman yang kini melanda persatuan itu.


“Syria meminta maaf atas kelewatan memberi maklum balas kerana mereka mengalami masalah dalaman apabila ahli Exco dan juga Presiden (SFA) meletak jawatan,” katanya.

Malaysia menjadi wakil tunggal Asia Tenggara mara ke peringkat kumpulan akan menentang Jepun pada perlawanan pembukaan di Stadium Tosu 21 September ini. Selain Jepun dan Syria, Bahrain juga turut menjadi pencabar skuad bawah 22 tahun negara dalam Kumpulan C.

Sementara itu, Azzuddin turut memaklumkan terdapat perubahan lokasi perlawanan persahabatan antarabangsa skuad senior dengan Australia pada 7 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...