Sunday, September 18, 2011

Misi 33 kian mustahil

KAPTEN  Selangor, Amri Yahyah (kanan) nyata hampa  selepas ditewaskan T-Team 2-1 dalam saingan di Stadium Shah Alam, malam tadi.
KAPTEN Selangor, Amri Yahyah (kanan) nyata hampa selepas ditewaskan T-Team 2-1 dalam saingan di Stadium Shah Alam, malam tadi.



PEREBUTAN tempat dalam tiga kumpulan untuk ke peringkat suku akhir saingan Piala Malaysia semakin hangat selepas berakhir perlawanan keempat malam tadi yang menyaksikan juara 32 kali Selangor semakin tercicir apabila tewas kepada T-Team di gelanggang sendiri.

Juara 2009 Negeri Sembilan turut disentak PKNS apabila tewas di gelanggang sendiri manakala barisan 10 pemain Perak yang kehilangan lima pemain kerana penggantungan, mempamer semangat juang tinggi untuk mencatat kemenangan dan mengambil alih kedudukan teratas Kumpulan A.

Di Stadium Perak, anak buah Norizan Bakar yang melayani kunjungan Sabah menang 2-1 walaupun terpaksa bertahan selepas Fazrul Hazli Kadri yang membuka jaringan pada minit keempat, dibuang padang pada minit ke-62.
Sabah menyamakan kedudukan pada minit ketujuh menerusi Shahrul Azhar Ture tetapi Failee Ghazali memastikan tiga mata milik tuan rumah apabila menyempurnakan penalti sejurus sebelum rehat.

Di Stadium Darulaman, Baddrol Bakhtiar menyelamatkan Kedah menerusi sepakan penalti pada minit terakhir permainan untuk mengikat Johor 3-3, walaupun Kedah bermula baik dengan mendahului saingan menerusi tandukan Khyril Muhymeen Zambri pada minit ke-28.

Arus permainan berubah apabila pertahanan Kedah, V Thirumurugan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-50 untuk membolehkan Johor mencipta dua gol pantas menerusi Mohd Noraslan Makhtar (m-67) dan gol sendiri kapten Kedah, Fauzi Nan (m-69).

Khyril mengikat kedudukan (m-71) tetapi pelawat kembali di depan seminit kemudian menerusi tandukan Ashadi Mohd Yusoff sebelum Baddrol menyempurnakan sepakan penalti di hujung permainan. 
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Terengganu kembali mengutip tiga mata dalam saingan Kumpulan B selepas menang tipis 1-0 ke atas Sime Darby hasil jaringan tunggal Ashaari Samsudin pada minit ke-34.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dikejutkan juara Liga Perdana, PKNS 2-0 di laman sendiri dengan aksi garang anak buah Abdul Rahman Ibrahim menerusi gol Fauzan Zulkifli (m-48) dan Norhisham Hassan (m-58), sekali gus menghidupkan peluang pasukan berstatus kelab itu untuk merebut tiket ke suku akhir.

Di Stadium Shah Alam, 'Misi 33' yang dicanang Selangor tampak semakin mustahil apabila tewas 1-2 kepada T-Team - kali keempat berturut-turut musim ini, sekali gus menyempitkan laluan skuad bimbingan K Devan yang wajib menang dalam baki dua perlawanan terakhir Kumpulan D.

Kapten Selangor, Amri Yahyah menamatkan kemarau jaringan peribadinya dengan rembatan yang menewaskan penjaga gol T-Team, Zaire Hafiezi Ideris pada minit ke-14 tetapi kelekaan pada 10 minit terakhir menyaksikan T-Team meledak dua gol menerusi tandukan Nor Farhan Mohammad (m-81) dan sepakan percuma Zairo Anuar Zalani (m-87) yang menewaskan G Jeevananthan.

Di Stadium Selayang, hasrat Kuala Lumpur untuk mengutip mata penuh tidak kesampaian apabila terikat 0-0 dengan Polis walaupun menguasai keseluruhan babak permainan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...